Tawaran telefon bimbit murah, remaja kerugian RM23,400

Tawaran telefon bimbit murah, remaja kerugian RM23,400

bhnews@bh.com.my

KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki kerugian RM23,400 selepas menjadi mangsa sindiket penjualan telefon bimbit yang ditawarkan pada harga murah,

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 18 tahun melayari media sosial Instagram pada 13 Jun lalu dan tertarik dengan iklan penjualan telefon bimbit iPhone dari negara jiran berharga RM200 seunit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed, berkata penjual memberi jaminan wang akan dipulangkan jika produk diterima adalah barangan tiruan, menyebabkan mangsa tertarik membuat pembelian dua unit telefon bimbit berkenaan.

“Mangsa kemudian menghubungi suspek menggunakan nombor talian negara jiran dan pada mulanya diminta membuat bayaran RM400 iaitu harga promosi untuk dua telefon bimbit itu ke satu akaun bank tempatan, kononnya milik individu penjual terbabit.

“Keesokan harinya, mangsa dihubungi suspek meminta membuat bayaran RM6,000 ke dua akaun bank tempatan milik individu berbeza kononnya bagi bayaran kad jaminan telefon dibeli.

“Dalam tempoh lebih kurang seminggu berikutnya, mangsa membuat beberapa lagi transaksi bayaran berjumlah RM12,000 ke tiga akaun bank tempatan milik individu

berbeza bagi pelbagai tujuan bayaran dinyatakan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Azizul berkata, pada 23 Jun lalu, mangsa menerima pesanan mesej melalui aplikasi WhatsApp dari nombor tidak dikenali mengaku pegawai penguat kuasa negara jiran yang mendakwa mangsa membeli barangan tidak dibenarkan eksport.

Katanya, mangsa diminta membuat bayaran pelepasan RM5,000 ke satu akaun bank tempatan lain jika masih berminat mendapatkan telefon berkenaan.

“Sehari selepas itu, mangsa sekali lagi diminta membuat bayaran pelepasan tetapi kali ini ke satu akaun bank di negara jiran dan ketika itu, mangsa mula sangsi.

“Disebabkan masih belum menerima telefon bimbit dibeli, mangsa membuat aduan polis pada 24 Jun lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top