am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Seorang pemandu lori direman empat hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana disyaki memukul dan mengugut isterinya selepas wanita itu keluar menonton konsert bersama lelaki lain di ibu kota, Sabtu lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 49 tahun itu dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
Berdasarkan laporan dibuat wanita berusia 42 tahun, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi semalam apabila suspek menuduh mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.
Suspek kemudian dipercayai menampar belakang kepala mangsa sebelum mengacukan sebilah pisau sambil mengeluarkan kata-kata, “Baik kau mati je (saja) lah.”
Akibat kejadian itu, mangsa cedera di kepala serta calar pada hidung sebelum membuat laporan di Balai Polis Tongkang Pechah di sini, semalam.
Siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja di sebuah syarikat penapis air keluar menonton konsert bersama lelaki lain tanpa pengetahuan suspek.
Mangsa turut dikatakan membawa anak perempuan untuk menemaninya sepanjang menghadiri konsert berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




