Ismail sedang usaha dapat perkenan Tuanku Muhriz untuk tarikh sidang DUN

Ismail sedang usaha dapat perkenan Tuanku Muhriz untuk tarikh sidang DUN

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan bahawa beliau masih dalam usaha mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berhubung tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang.

Menurut laporan Sinar Harian, beliau berkata, persidangan berkenaan sebelum ini dirancang berlangsung pada 26 November, manakala pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan pula dijadualkan pada 27 November.

“Sedang berusaha (dapat perkenan Tuanku Muhriz).
“Tapi seperti mana yang saya sebut sebelum ini, itulah…27 November lebih kurang. Tengok macam mana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Perpatih Fest di Seremban pada Jumaat, ketika ditanya sama ada perkenan baginda berhubung tarikh persidangan DUN berkenaan sudah diperoleh.

Foto arkib: Bernama

Sebelum ini, Pengerusi DAP Negeri Sembilan, J Arul Kumar memaklumkan bahawa semua ADUN pembangkang masih belum menerima sebarang pemberitahuan rasmi mengenai persidangan DUN yang dikatakan akan berlangsung pada November ini.

ADUN Nilai itu berkata, sekiranya tarikh berkenaan sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar, semua wakil rakyat sepatutnya telah dimaklumkan mengenainya.

Sementara itu, mengulas kenyataan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bahawa DUN Negeri Sembilan berkemungkinan terbubar secara automatik pada Februari 2027 sekiranya tiada persidangan berlangsung sehingga tempoh berkenaan, Ismail mengakui tidak pasti mengenai perkara tersebut.

Beliau berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada peruntukan undang-undang berkaitan bagi mendapatkan penjelasan dan kepastian.

Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)

Scroll to Top