Tambahan masa 2 minit bertukar 7 minit: FIFA masih membisu

Tambahan masa 2 minit bertukar 7 minit: FIFA masih membisu

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kontroversi pertambahan masa dalam aksi Piala ASEAN FIFA 2026 melibatkan Indonesia dan Bangladesh pada 1 Oktober lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk bola sepak negara itu bagaimanapun tidak berdiam diri dan akan mendapatkan jawapan susulan berhubung perkara itu dengan FIFA.

“Kita ada hantar bantahan tapi maklum balas sampai sekarang kita tak dapat lagi.

“Namun, kita akan mendapatkan jawapan susulan dengan FIFA berhubung perkara ini,” katanya.

Kontroversi itu tercetus apabila tempoh masa tambahan yang pada awalnya ditunjukkan selama dua minit berubah kepada tujuh minit ketika perlawanan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Lebih menimbulkan persoalan apabila pembantu pengadil pada awalnya mengangkat papan tanda menunjukkan dua minit masa tambahan selain paparan siaran televisyen turut memaparkan tempoh yang sama.

Bagaimanapun, situasi berubah selepas Bangladesh menjaringkan gol kedua apabila tempoh masa tambahan yang dipaparkan bertukar kepada tujuh minit sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai keputusan berkenaan.

Dalam tempoh tambahan itu, Indonesia berjaya meledak dua gol menerusi Kevin Diks pada minit ke-96 sebelum Mitchell Baker melengkapkan hatriknya seminit kemudian untuk membantu skuad Garuda mencatat kemenangan besar 9-2.

Keputusan itu menyaksikan Indonesia mengesahkan kemaraan ke final berdasarkan kelebihan jumlah jaringan keseluruhan, sekali gus menafikan peluang Malaysia untuk beraksi dalam perlawanan akhir kejohanan berkenaan.

Scroll to Top