Solat Jumaat tergendala: JHEAINS ambil alih sementara pentadbiran Masjid Jamek Kuala Klawang

Solat Jumaat tergendala: JHEAINS ambil alih sementara pentadbiran Masjid Jamek Kuala Klawang

am@hmetro.com.my

Jelebu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan mengambil alih sementara pentadbiran Masjid Jamek Kuala Klawang susulan insiden solat Jumaat tidak dapat dilaksanakan di masjid berkenaan, hari ini.

Susulan kejadian itu, jemaah terpaksa menunaikan solat Zuhur sebagai ganti bagi solat Jumaat.

JHEAINS dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya tidak pernah menerima notis peletakan jawatan secara bertulis daripada Imam 1 masjid berkenaan, sebaliknya hanya menerima makluman secara lisan berkenaan hasrat beliau untuk berbuat demikian.

Menurut kenyataan itu, individu berkenaan juga masih menerima elaun bagi jawatan imam yang disandangnya.

Berikutan insiden itu, pentadbiran Masjid Jamek Kuala Klawang akan diambil alih sementara oleh JHEAINS Daerah Jelebu bagi memastikan pengurusan masjid dan pelaksanaan ibadah berjalan lancar serta kepentingan jemaah terus terpelihara.

“JHEAINS memandang serius perkara ini dan akan menjalankan penelitian lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan.

“Jabatan ini juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan mengikut bidang kuasa masing-masing,” menurut kenyataan itu.

JHEAINS turut menegaskan bahawa segala tindakan pentadbiran dilaksanakan berdasarkan amanah dan ketetapan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan menegaskan pendiriannya untuk kekal berkecuali daripada kepentingan politik kepartian serta berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, integriti dan etika perkhidmatan awam.

JHEAINS turut komited menambah baik prosedur pentadbiran serta mengingatkan semua jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di Negeri Sembilan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa agama serta peraturan ditetapkan.

“Kelancaran pelaksanaan ibadah, ketenteraman awam, pemeliharaan kesucian institusi masjid serta kepentingan jemaah sentiasa menjadi keutamaan.

“Tiada mana-mana individu, tanpa mengira kedudukan atau pengaruh, terkecuali daripada mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top