Bersatu kekal pembangkang, sedia sokong kerajaan Selangor menerusi CSA – Amirudin

Bersatu kekal pembangkang, sedia sokong kerajaan Selangor menerusi CSA – Amirudin

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan kekal sebagai pembangkang di Selangor meskipun bersedia memberikan sokongan kepada kerajaan negeri menerusi persefahaman keyakinan dan perbekalan (CSA).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rundingan antara kedua-dua pihak setakat ini menunjukkan perkembangan positif apabila asas persefahaman sudah dicapai.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa perkara yang masih perlu diperhalusi khususnya membabitkan butiran sensitif sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Setakat ini, kalau ada, mereka (ADUN Bersatu) datang dan akan beri sokongan (kepada) blok (kerajaan), tetapi masih kekal sebagai pembangkang.

“Itu asasnya, tetapi nanti saya akan maklumkan kerana ada beberapa butiran yang perlu saya kemas kini dengan pihak parti dan kepimpinan PH (Pakatan Harapan) untuk diberikan kebenaran” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sanjungan Budi Sempena SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini pada Jumaat.

Sinar Harian pada 8 Oktober lalu melaporkan, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri berharap CSA dengan Bersatu dapat dimeterai sebelum pembentangan Belanjawan Selangor pada November depan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, beliau belum bersedia memberikan sebarang komitmen lanjut berhubung rundingan itu sehingga proses perbincangan selesai dan keputusan dicapai.

“Perkembangan lanjut mengenai perkara berkenaan akan dimaklumkan selepas semua butiran berkaitan diperhalusi,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan Selangor bersedia menawarkan kemudahan ‘venue’ sukan milik negeri untuk digunakan bagi penganjuran temasya sukan akan datang sekiranya diperlukan.

Katanya, beberapa kemudahan termasuk Stadium Hoki di negeri ini boleh dimanfaatkan sebagai lokasi latihan kepada pasukan yang bakal menyertai pertandingan.

Menurutnya, Selangor turut mempunyai beberapa venue lain yang boleh dipertimbangkan bagi penganjuran acara sukan tertentu.

“Kalau pihak MSN (Majlis Sukan Negara) ingin menggunakan kemudahan di negeri ini, insya-Allah kita akan laksanakan,” tambah beliau.

Scroll to Top