GEORGE TOWN – Sebanyak RM100,000 diperuntukkan Kementerian Digital bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Residensi di sini menerusi Program Sekolah Angkat Madani (SAM).
Peruntukan itu digunakan bagi meningkatkan keselesaan warga sekolah termasuk pemasangan sistem siaraya tetap dan mudah alih, pendingin hawa, kipas siling serta penyediaan papan putih dan papan kenyataan.
Kementerian Digital dalam kenyataan memaklumkan, kerja penambahbaikan turut merangkumi pembinaan bumbung sengkuap zink di bilik seni dan ruang wuduk selain pembinaan sinki konkrit berjubin.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif selain memenuhi keperluan warga sekolah.
“Majlis Penyerahan Sekolah Angkat Madani Kementerian Digital di SK Jalan Residensi disempurnakan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Shariffah Rashidah Syed Othman yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Digital.
“Majlis itu turut berlangsung serentak dengan sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat sekolah,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Dalam pada itu, program berkenaan turut memberi pendedahan kepada murid mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI) dan literasi digital menerusi pengisian interaktif anjuran Biji-biji Initiative dan AI Malaysia Berhad.
Aktiviti berkenaan termasuk sesi penerokaan teknologi AI, pendedahan literasi digital serta pertandingan mewarna bagi menggalakkan murid mengenali dunia teknologi sejak peringkat awal.
Kementerian Digital memaklumkan, pelaksanaan program itu mencerminkan usaha kerajaan menyediakan manfaat secara langsung kepada komuniti setempat, khususnya dalam meningkatkan kesejahteraan warga sekolah dan memperluas akses kepada pendedahan teknologi digital.
Inisiatif berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha menyokong aspirasi Malaysia ke arah Negara AI 2030.



