MELAKA – Barisan Nasional (BN) akan terus memberi mandat kepada Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 November ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, cadangan untuk memberi amanah kepada Ab Rauf meneruskan tanggungjawabnya itu juga tertakluk kepada bidang kuasa yang ada pada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
“Kita tidak mendahului kuasa-kuasa yang ada pada Yang Dipertua Negeri Melaka tetapi saya sebagai Pengerusi BN akan mencadangkan nama Ab Rauf untuk meneruskan khidmat beliau di Melaka.
“Bagaimanapun terlebih dahulu, kita serahkan mandat ini semula kepada rakyat Melaka. Saya harap (sokongan) mereka benar-benar akan dapat diterjemahkan sehingga kita dapat membentuk kerajaan negeri bersama-sama dengan rakan strategik kita,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: PRN Melaka: Proses penamaan calon bermula hari ini
PRN Melaka: Calon PH disambut tarian singa, PN gegar dengan laungan takbir
PRN Melaka: Penyokong PN, PH bersahutan dengan laungan takbir dan ‘hidup rakyat’
PRN Melaka: Ab Rauf diiringi Ahmad Zahid ke pusat penamaan calon DUN Tanjung Bidara
PRN Melaka: Nie Ching iringi calon PH DUN Bandar Hilir
PRN Melaka: Tiga calon rebut kerusi Paya Rumput
Beliau ditemui pemberita selepas mengiringi Ab Rauf ke pusat penamaan calon PRN Melaka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Dewan Datuk Kapt (B) Hj Ab Karim Kompleks Japerun Tanjung Bidara di Alor Gajah di sini hari ini.
Ahmad Zahid pada masa sama berharap rakyat Melaka menilai dengan baik prestasi pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Ab Rauf sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.
“Kita juga tidak mahu ada kempen fitnah ataupun mencacat celakan kempen-kempen dengan pelbagai kaedah yang tidak baik, dan saya juga jangkakan suhu kempen di Melaka ini akan agak tenang,” katanya.
Beliau turut mengesahkan BN bersama-sama rakan strategik Perikatan Nasional (PN) bertanding di keseluruhan 28 kerusi DUN pada PRN Melaka kali ini, dengan menyifatkannya sebagai manifestasi kebersamaan.
“UMNO bertanding 18 kerusi, MCA empat kerusi dan MIC satu kerusi. Selain daripada itu ialah rakan-rakan dalam PN.
“Ini kebersamaan, pada saat ramai yang menjangkakan kononnya MCA mahu memboikot pilihan raya negeri Melaka ini, ataupun sekurang-kurangnya mereka merajuk, tetapi tidak berlaku begitu. Sebaliknya MCA telah diberikan empat kerusi,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 November. – Bernama



