PRN Melaka: Idris gesa UMNO, PAS elak perbalahan

PRN Melaka: Idris gesa UMNO, PAS elak perbalahan

am@hmetro.com.my

Melaka: UMNO dan PAS perlu mengelakkan perbalahan serta mengetepikan perbezaan bagi memastikan kekuatan kerjasama kedua-dua parti terus dipertahankan.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata, ini kerana perpecahan hanya akan menyebabkan kekuatan politik mereka semakin lemah, sekali gus mengingatkan pimpinan kedua-dua parti supaya mengambil iktibar daripada peringatan al-Quran mengenai bahaya perselisihan.

“Dua saja, berbalah atau kalah, jadi nak yang mana?” katanya ketika berucap sebelum mengiringi calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin ke Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Serbaguna Akademi Latihan RELA Malaysia (ALARM), Sungai Udang di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak Datuk Azian Osman serta Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Menurut Idris, kerjasama UMNO dan PAS penting bagi memastikan kekuatan politik Melayu Islam terus menjadi tonggak dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.

“Sebab itu kita nak supaya hari ini kita bekerjasama untuk memastikan dalam perjuangan kita ini ialah perjuangan bagi memastikan kuasa orang-orang Melayu Islam ini menjadi dominan dan menjadi tonggak kepada kekuatan kita,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuhkan kerjasama itu tidak seharusnya terhenti setakat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya menjadi sebahagian daripada hala tuju lebih besar menuju Putrajaya.

“Kita lihat penolakan gelombang Pakatan Harapan (PH) di Sabah, di Johor, kita tarik sedikit ikatan di Negeri Sembilan kemudian pula di Melaka.

“Seterusnya insya-Allah, ini merupakan ‘roadmap’ kita ke Putrajaya nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, pimpinan dan penyokong PAS di DUN Sungai Udang sudah diberikan arahan supaya memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Rais.

Katanya, pendekatan mendekati masyarakat perlu diperluaskan di pelbagai lokasi termasuk kedai, majlis kenduri dan tempat tumpuan penduduk bagi menyampaikan mesej sokongan kepada Rais.

“Pastikan anak-anak kita, adik-beradik kita serta saudara-mara kita yang berada di luar balik (mengundi) dan kita lebar kempen pengaruh kita demi kemenangan calon Datuk Rais,” katanya.

Sementara itu, Khaled menyifatkan kehadiran pimpinan tertinggi PAS hari ini sebagai petanda positif kepada permulaan kerjasama lebih erat antara kedua-dua parti.

Beliau berkata, UMNO turut akan memberikan sokongan kepada calon PAS yang bertanding di DUN Paya Rumput, sebagaimana PAS menyatakan sokongan kepada calon BN.

Katanya, beliau berharap keempat-empat kerusi DUN dalam Parlimen Tangga Batu dapat dimenangi calon BN dan Perikatan Nasional (PN) menerusi kerjasama berkenaan.

DUN Sungai Udang menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Rais, Mejar (B) Abdullah Mahadi daripada BERSATU dan Mohd Rizduan Abdul Rahman daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top