SHAH ALAM – Abang kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, Dr Muhammad Solehin Saleh, antara 16 calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Dr Muhammad Solehin, 40, mewakili parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di Parlimen Jasin dalam saingan empat penjuru.
Beliau bakal berdepan tiga calon lain iaitu Muhammad Rabaie Ab Hamid (Bersatu), Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Wawasan) dan Abd Halim Said (Bebas).
Dr Muhammad Solehin merupakan seorang doktor perubatan dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Kedoktoran Umum dari Universitas Sriwijaya, Indonesia.
Sementara itu, adiknya, Akmal Saleh pula mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Merlimau meskipun kedua-duanya berada dalam parti politik berbeza.
Akmal berdepan saingan dua penjuru di kerusi itu dengan calon Pakatan Harapan (PH), Rahayu Hamzah daripada Amanah.
Pada PRN Melaka 2021, Akmal memenangi kerusi DUN Merlimau dengan majoriti 3,248 undi, sekali gus mempertahankan kerusi berkenaan untuk UMNO-BN.
Beliau kemudian dilantik sebagai Exco yang memegang portfolio Kesihatan sebelum dipindahkan ke portfolio Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada 2023.



