am@hmetro.com.my
Gopeng: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yakin larangan menggunakan aplikasi navigasi Waze serta merta dalam kalangan penjawat awam akan dipatuhi sepenuhnya.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, buat masa ini peratusan kadar pematuhan larangan yang dibuat atas faktor keselamatan itu belum diperoleh memandangkan arahan itu baharu diumumkan minggu lalu.
“Kita sedia maklum bahawa larangan itu atas dasar keselamatan di mana kita belajar daripada apa yang berlaku kepada negara-negara lain yang turut menggunakan aplikasi berkenaan.
“Dari segi tahap pematuhan saya percaya penjawat awam faham apa yang dihasratkan oleh kerajaan. Saya penuh yakin bahawa penjawat awam akan mematuhi apa yang digariskan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis Penutupan Rasmi Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI JPA 2026 di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Baharu, di sini, hari ini.
Pada 21 Oktober lalu, kerajaan mengarahkan semua penjawat awam negara ini menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze secara serta merta.
Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sehari sebelumnya.
Larangan penggunaan aplikasi Waze diputuskan memandangkan aplikasi itu berpangkalan di Israel, namun sebaliknya orang ramai digalakkan menggunakan aplikasi tempatan TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




