zulfaizan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Penaung Kuala Lumpur (KL) City FC, Datuk Seri Fahmi Fadzil memberikan ‘tugasan besar’ buat skuad City Boys untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini dalam kelompok lima pasukan terbaik.
Cabaran itu disuarakan Fahmi pada majlis makan malam Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), malam tadi dengan skuad kendalian Datuk Dollah Salleh ketika ini berada di tangga ketujuh liga selepas mengharungi enam perlawanan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi menjelaskan tugasan atau sasaran itu dilihat mampu dicapai sekiranya semua pihak termasuk pengurusan, barisan jurulatih dan pemain berkerja sebagai satu pasukan dengan komitmen tinggi.
“Kepada semua, saya doakan yang terbaik. Ada tugas besar untuk KL City. Saya mahu komitmen daripada pemain. Kita sudah bagi tugasan kepada Datuk Dollah, menetapkan sasaran.
“Saya percaya kalau kita bekerja sebagai satu pasukan, jika komitmen kita tinggi, kalau semangat kita kuat, kalau kita nampak hala tuju yang jelas untuk pasukan dan persatuan, kalau kita fokus kepada permainan, saya percaya kita mampu menamatkan hujung musim dalam kelompok lima terbaik,” katanya.
Majlis makan malam itu dihadiri barisan kepimpinan KLFA diketuai presidennya, Syed Yazid Syed Omar merangkap Pengerusi KL City FC, serta barisan kejurulatihan dan pemain City Boys.
KL City ketika ini hanya mengumpul enam mata hasil daripada dua kemenangan dan empat kekalahan dengan skuad Dollah masih tercari-cari rentak terbaik mereka.
Skuad City Boys akan meneruskan saingan dalam Liga Super menentang Penang FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, 22 November ini selepas rehat antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




