KUALA LUMPUR: Gandingan Enrique Maccartney Harold dan Bertrand Rhodict Lises menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia dalam acara 10 meter (m) platform seirama lelaki pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Pasangan negara itu mempamerkan aksi cemerlang untuk mengumpul 392.28 mata, sekali gus mengatasi gandingan Amerika Syarikat (AS), Joshua Hedberg dan Carson Tyler yang meraih perak dengan 368.43 mata.
Pingat gangsa pula menjadi milik wakil Brazil, Caio Dalmaso dan Miguel Cardoso selepas mengumpul 333.45 mata.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Tidak banyak yang boleh saya katakan. Saya dan Enrique hanya berlatih selama dua minggu untuk kejohanan ini.
“Segala pujian harus diberikan kepada Enrique kerana dia berjaya meningkatkan prestasi kami dengan begitu ketara dalam acara terjun ini,” kata Bertrand.
Bagaimanapun, Malaysia gagal menambah koleksi pingat dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki apabila gandingan Yong Rui Jie dan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim menamatkan saingan di tempat keempat dengan 349.20 mata.
Satu lagi pasangan negara, Awang Sharzan Nasrin Awang Nasaruddin dan Muhammad Haris Mohd Reza berada di kedudukan kelima selepas mengumpul 330.78 mata.
Rui Jie berkata, kejohanan itu menjadi medan penting buat pasukan negara mengukur kemampuan mereka apabila berdepan penerjun dari negara yang mempunyai kekuatan tersendiri seperti AS, Rusia dan Jepun.
“Sejujurnya, AS, Rusia dan Jepun bukan negara yang lemah. Mereka juga pasukan yang kuat. Kami datang ke sini untuk melihat perbezaan antara pasukan kita dengan mereka, selain menilai prestasi sendiri.
“Apabila pulang nanti, kami boleh membuat perbandingan dan mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam acara 3m papan anjal wanita, wakil negara, Lee Yiat Qing dan Hui Xue Teng masing-masing menamatkan saingan di kedudukan ke-11 dan ke-12 keseluruhan.
Emas acara itu dimenangi penerjun Jepun, Sayaka Mikami dengan 300.40 mata, manakala wakil AS, Sophie Verzyl meraih perak dengan 295.70 mata dan rakan senegaranya, Kristen Hayden membawa pulang gangsa selepas mengumpul 286.70 mata.
Sementara itu, AS menguasai acara 3m papan anjal seirama lelaki menerusi gandingan Quentin Henninger dan John Ryan yang mengumpul 383.49 mata untuk emas. Rusia meraih perak dengan 365.19 mata, manakala Jepun membawa pulang gangsa selepas mengumpul 362.55 mata. – UTUSAN




