'Negara tidak akan jadi miskin bantu orang miskin'- PM

'Negara tidak akan jadi miskin bantu orang miskin'- PM

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara tidak akan jadi miskin kerana tolong orang miskin.

Beliau berkata, tidak ada negara dan kerajaan di dunia ini yang menjadi miskin disebabkan menolong rakyat miskin dan orang yang kurang berkemampuan.

Katanya, sejarah membuktikan tiada negara menjadi muflis hanya kerana memperuntukkan bantuan kepada golongan miskin.

“Sebab itu kerajaan menaikkan gaji minimum penjawat awam sebanyak 15 peratus tahun ini, walaupun kosnya kepada kerajaan sebanyak RM18 bilion.

“Kos untuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) itu tahun ini pula mencecah RM16 bilion. Tetapi negara kita tidak terbeban,” katanya berucap merasmikan Skim Usahawan Bangkit Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Anwar berkata, belum ada negara jadi miskin disebabkan kerajaan atau penguasa membantu orang miskin.

“Tetapi negara jadi rosak, musnah kerana disebabkan salah laku pimpinan, tatakelolanya dan nafsu serakah yang menggondol kekayaan yang bukan hak mereka.

“Sebab itu, kita tegas dan tekankan hal ini walaupun ada orang yang kurang suka. Tetapi kita tidak ada pilihan kerana nak selamatkan umat dan selamatkan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top