Simpan hari ini, jamin masa depan anak! PTPTN semarak budaya menabung sempena Hari Tabungan Sedunia

Simpan hari ini, jamin masa depan anak! PTPTN semarak budaya menabung sempena Hari Tabungan Sedunia

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya merekodkan kutipan deposit Simpan SSPN sebanyak RM267.7 juta sepanjang penganjuran Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026, sekali gus melepasi sasaran awal RM250 juta.

Pengerusi PTPTN, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, jumlah kutipan yang direkodkan bagi tempoh 25 September hingga 29 Oktober itu mencapai 107.10 peratus daripada sasaran ditetapkan.

“Sepanjang BMS 2026 yang bermula 25 September hingga 29 Oktober 2026, kutipan deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM267.7 juta, iaitu pencapaian 107.10% berbanding sasaran kutipan sebanyak RM250 juta.
“PTPTN optimis jumlah kutipan deposit sempena BMS 2026 akan terus meningkat dan mencatatkan prestasi yang lebih membanggakan. Di sebalik pencapaian tersebut, semakin ramai ibu bapa telah mengambil langkah awal untuk menyediakan simpanan pendidikan anak-anak. Syabas dan tahniah kepada seluruh warga PTPTN atas usaha ini,” katanya.

YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (dua dari kiri) merasmikan Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2026 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia. Turut hadir, YBrs Encik Azhar Ahmad, Ketua Pegawai Kewangan PTPTN (hujung kiri) dan YBrs. Puan Wan Zawiah Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan PTPTN.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutup BMS 2026 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia di Alamanda Shopping Centre, Putrajaya, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Norliza memaklumkan jumlah keseluruhan deposit Simpan SSPN sehingga 30 September 2026 mencecah RM26.07 bilion melibatkan 7.74 juta akaun.

“Sehingga 30 September 2026, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM26.07 bilion melibatkan 7.74 juta akaun. Prestasi ini membuktikan Simpan SSPN kekal kukuh dan relevan sebagai salah satu simpanan pendidikan terbaik di Malaysia,” jelasnya.

Memasuki tahun kesembilan penganjurannya sejak 2018, BMS 2026 terus menjadi platform PTPTN untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan merancang kewangan pendidikan anak-anak sejak awal.

Program yang berlangsung sehingga 1 November itu dianjurkan bersempena Hari Tabungan Sedunia dengan tema “AI advises, Human decides”, yang menekankan peranan kecerdasan buatan (AI) dalam membantu perancangan kewangan, namun keputusan menabung tetap bergantung kepada disiplin dan komitmen individu.

YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (empat dari kiri) bergambar bersama Juara Pertandingan Koir Simpan SSPN.

Sepanjang penganjuran, pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk pertandingan mewarna, koir Simpan SSPN, persembahan bakat, pakaian beragam serta permainan interaktif untuk seisi keluarga.

Majlis penutup turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik dan hadiah kepada pemenang Pertandingan Koir Simpan SSPN yang julung kali dianjurkan.

Sementara itu, PTPTN memaklumkan Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak serta simpanan patuh syariah yang dijamin kerajaan.

PTPTN turut menawarkan hadiah bernilai hampir RM1.9 juta kepada 1,060 pemenang menerusi Kempen Cabutan Simpan SSPN 2026 bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia membudayakan amalan menabung untuk pendidikan.

Scroll to Top