am@hmetro.com.my
Muar: Operator kilang kerugian RM103,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai ejen insurans, pegawai polis dan timbalan pendakwa raya.
Wanita berusia 54 tahun itu diperdaya selepas menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai ejen insurans pada 10.59 pagi, 4 September lalu.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.
Menurutnya, selepas itu panggilan terbabit disambungkan pula kepada seorang lagi suspek menyamar sebagai timbalan pendakwa raya.
Katanya, mangsa dituduh terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram sebelum diarah memindahkan wang miliknya bagi membantu siasatan.
“Suspek turut mengarahkan mangsa membuka akaun bank baharu serta menyerahkan maklumat perbankan kepada suspek.
“Akaun bank itu akhirnya dikuasai suspek dan digunakan untuk tujuan pemindahan wang.
“Selain itu mangsa turut diarahkan melakukan beberapa transaksi berjumlah RM103,000 menggunakan wang simpanannya sebelum dia menyedari ditipu,” katanya.
Raiz Mukhliz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Katanya, individu yang menjadi mangsa penipuan kewangan diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 sebelum membuat laporan polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




