am@hmetro.com.my
Kangar: Hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad, 50, membawa keluarga bercuti selepas selesai persidangan DUN tidak kesampaian apabila beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, petang tadi.
Suami Allahyarham, Sabry Saad, 53, berkata, isterinya yang menghidap penyakit tiroid kelihatan sihat dan sempat bergurau seperti biasa semalam.
Menurutnya, Allahyarham teruja merancang percutian keluarga sempena cuti sekolah anak mereka.
Katanya, keadaan kesihatan isterinya bagaimanapun mula merosot dan serius sekitar jam 9 pagi tadi selepas mengadu kepenatan sejak beberapa hari lalu.
“Menjelang jam 10.30 pagi, dia sudah tidak boleh bercakap sebelum kami membawanya ke Unit Kecemasan HTF sekitar jam 11 pagi dengan bantuan saudara-mara serta ambulans.
“Sebaik tiba di bahagian kecemasan, doktor terpaksa melakukan prosedur intubasi dan menidurkannya, namun paras oksigen serta tekanan darahnya terus menurun.
“Pasukan perubatan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) beberapa kali sebelum dia disahkan meninggal dunia pada jam 4.26 petang,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HTF di sini, hari ini.
Sabri berkata, pemergian mengejut isterinya itu amat dirasai memandangkan arwah tidak menunjukkan sebarang simptom teruk sebelum ini.
“Isteri hanya mengambil ubat tiroid secara berkala.
Cuma kebelakangan ini dia kerap berbual menerusi telefon dengan anak kami yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kegembiraannya melihat anak kedua kami memperoleh keputusan 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini dan menyambung pengajian juga masih belum habis.
“Secara peribadi, saya amat mengagumi ketokohan dan kesungguhannya berkhidmat. Walaupun dalam keadaan sakit dan tidak lagi memegang jawatan EXCO, dia tetap gagahkan diri turun padang menziarahi rakyat serta menunaikan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat,” katanya.
Allahyarham Wan Badariah meninggalkan tiga anak iaitu Sarah Iziani, 19, yang menuntut di Universiti Terbuka Malaysia (OUM); Safiah Ilwani, 18, pelajar Pusat Asasi UIAM dan Amjad Asyraf, 15, pelajar Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau.
Jenazah Allahyarham dijangka disolatkan jam 11 pagi esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Siding, Arau.
Pada Mei 2024, media melaporkan Wan Badariah ditidurkan bagi memberi rehat secukupnya selepas mengalami komplikasi akibat penyakit tiroid.
Beliau kemudian dilaporkan semakin pulih dan kembali menjalankan perkhidmatan sebagai wakil rakyat seperti biasa.
Sebagai rekod, Wan Badariah pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri di bawah pentadbiran bekas Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Allahyarham yang juga seorang peguam berasal dari Padang Siding, Arau, muncul sebagai calon wanita pertama yang dinamakan PAS Perlis untuk bertanding kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




