Selepas selesai syafaat semua yang diizinkan Allah SWT, maka tinggallah akhir sekali syafaat Allah SWT sendiri. Abu Sa’id al-Khudri RA meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman: ‘Para malaikat telah memberikan syafaat, para nabi telah memberikan syafaat dan orang-orang beriman juga telah memberikan syafaat. Maka, tiada yang tinggal lagi melainkan (Aku) Yang Maha Mengasihani di antara segala yang mengasihani.”
Lantas, Allah mengambil satu kumpulan manusia yang ramai dari api neraka. Dia mengeluarkan darinya satu golongan yang tidak pernah langsung melakukan kebaikan dan mereka telah pun bertukar menjadi arang. Lalu, Allah mencampakkan mereka ke dalam sebatang sungai yang berada di pintu-pintu syurga dipanggil ‘Sungai Kehidupan’.
Maka, mereka pun hidup semula seperti tumbuhnya benih di dalam sisa air banjir. Tidakkah kamu lihat benih itu baik ia terdampar ke batu atau ke pokok, maka bahagian yang terarah kepada matahari akan berwarna sedikit kekuningan dan kehijauan, manakala bahagian yang terarah kepada bayang-bayang akan berwarna putih?’
Sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, seolah-olah tuan dahulu pernah menggembala di kawasan padang pasir (kerana perumpamaan terperinci itu)?’ Baginda menyambung: ‘Maka, mereka pun keluar dari sungai itu seumpama mutiara (dengan tubuh baru) serta di leher mereka terdapat tanda yang membolehkan ahli syurga mengenali mereka.
Mereka inilah orang-orang yang dibebaskan oleh Allah, yang dimasukkan Allah ke syurga tanpa sebarang amalan yang mereka lakukan dan tanpa sebarang kebaikan yang mereka hulurkan.
Kemudian, Allah berfirman: ‘Masuklah kamu sekalian ke syurga, dan apa-apa sahaja yang kamu lihat, maka ia adalah milikmu.’ Lalu, mereka berkata: ‘Wahai Tuhan kami, Engkau telah mengurniakan kepada kami sesuatu yang belum pernah Engkau kurniakan kepada seorang pun di seluruh alam semesta!’ Allah berfirman lagi: ‘Bagi kamu sekalian di sisi-Ku ada sesuatu yang lebih utama lagi daripada ini.’ Mereka bertanya: ‘Wahai Tuhan kami, apa lagi perkara yang lebih utama daripada ini?’ Lalu, Allah berfirman: ‘Keredaan-Ku. Aku tidak akan murka lagi kepadamu selepas ini buat selama-lamanya’.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Abu Hurairah RA pula meriwayatkan mengenai keadaan orang yang terakhir sekali masuk ke syurga. Rasulullah SAW bersabda: “Maka, tinggallah seorang lelaki daripada mereka yang wajahnya masih menghadap ke neraka. Dia merayu: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya baunya telah meracuniku dan marakan apinya telah membakarku. Maka, palingkanlah wajahku dari neraka!’ Dia terus berdoa kepada Allah, lalu Allah berfirman: ‘Barangkali jika Aku menunaikan permintaanmu ini, kamu akan meminta perkara yang lain pula?’ Dia menjawab: ‘Tidak, demi kemuliaan-Mu! Aku tidak akan meminta kepada-Mu perkara yang lain.’ Maka, Allah pun memalingkan wajahnya dari neraka. Kemudian selepas itu, dia merayu lagi: ‘Wahai Tuhanku, dekatkanlah aku ke pintu syurga!’ Lalu, Allah berfirman: ‘Bukankah kamu telah berjanji tidak akan meminta perkara lain lagi? Celakalah kamu, wahai anak Adam. Alangkah cepatnya kamu memungkiri janji!’ Namun, dia terus berdoa. Lalu, Allah berfirman: ‘Barangkali jika Aku berikan kamu perkara itu, kamu akan meminta kepada-Ku perkara yang lain pula?’ Lelaki itu menjawab: ‘Tidak, demi kemuliaan-Mu! Aku tidak akan meminta lagi selainnya.’ Maka, dia pun memberikan janji dan ikrar setia kepada Allah bahawa dia tidak akan meminta kepada-Nya perkara lain.
Maka, Allah pun mendekatkannya ke pintu syurga. Apabila dia melihat keindahan yang ada di dalam syurga, dia terdiam selamamana yang Allah kehendaki dia terdiam. Kemudian, dia merayu lagi: ‘Wahai Tuhanku, masukkanlah aku ke syurga!’ Lantas, Allah berfirman: ‘Bukankah kamu telah berjanji tidak akan meminta kepada-Ku perkara lain lagi? Celakalah kamu, wahai anak Adam. Alangkah cepatnya kamu memungkiri janji!’ Namun, dia merayu: ‘Wahai Tuhanku, janganlah Engkau jadikanku makhluk-Mu yang paling malang!’ Dia terus berdoa sehinggalah Allah reda dan menerimanya. Apabila Allah reda terhadapnya, Dia pun mengizinkannya untuk masuk ke syurga.
Apabila dia telah masuk ke dalamnya, dikatakan kepadanya: ‘Cita-citakanlah apa yang diingini.’ Maka, dia pun menyatakan keinginannya. Kemudian, dikatakan lagi kepadanya: ‘Cita-citakanlah apa yang diingini.’ Maka, dia pun menyatakan keinginannya sehinggalah dia kehabisan segala impiannya. Lalu, Allah berfirman kepadanya: ‘Semua ini adalah milikmu dan bersamanya satu kali ganda lagi yang seumpamanya!” Manakala dalam riwayat Abu Sa’id al-Khudri: ‘Semua ini adalah milikmu dan ditambah sepuluh kali ganda lagi yang seumpamanya!” Abu Hurairah berkata: “Lelaki itulah penduduk syurga yang terakhir sekali memasukinya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Penulis Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan Sunnah, Universiti Islam Selangor
© New Straits Times Press (M) Bhd




