PRN Melaka: Pesanan ayah jadi azimat Rahayu berdepan Dr Akmal di Merlimau

PRN Melaka: Pesanan ayah jadi azimat Rahayu berdepan Dr Akmal di Merlimau

Jasin: Pesanan bapa agar sentiasa berjiwa besar menjadi pembakar semangat Ketua Wanita Amanah Melaka, Rahayu Hamzah dalam menggalas cabaran sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Beliau berkata, pesanan itu sentiasa menjadi pegangan, termasuk ketika berdepan penyandang kerusi berkenaan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh daripada Barisan Nasional (BN).

Meskipun mengakui pengaruh Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO di media sosial, Rahayu tetap yakin dengan sokongan pengundi terhadap PH di kawasan berkenaan.

“Kita tahu pengaruh media sosial beliau dan kita tidak menafikannya, tetapi kita sudah bersedia. Saya yakin dengan pengundi di bawah dan itu sebabnya saya berani untuk masuk dan menggalas cabaran,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Rahayu berkata sekiranya diberi mandat, beliau bersedia memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan membawa aspirasi PH menerusi gagasan Melaka Rumah Kita, selain menjadikan pendidikan antara fokus utama khususnya bagi golongan muda.

Beliau berkata, perhatian turut diberikan kepada penyelesaian masalah infrastruktur setempat, termasuk isu banjir, berdasarkan keperluan serta aduan masyarakat.

Sementara itu, Dr Muhamad Akmal berkata, beliau tidak meletakkan sasaran memperoleh majoriti besar di DUN Merlimau, sebaliknya menyerahkan kepada pengundi untuk menilai khidmatnya sepanjang empat tahun 11 bulan sebagai wakil rakyat.

Beliau berkata, keutamaan adalah memastikan amanah yang diberikan, dilaksanakan sebaik mungkin manakala keputusan pengundi kelak akan menentukan sama ada khidmatnya terus mendapat kepercayaan.

“Kalau mereka rasa perkhidmatan saya tidak bagus, saya jujur kata jangan undi saya. Tetapi kalau rasa perkhidmatan saya bagus dan memuaskan hati, saya mohon kepercayaan sekali lagi,” katanya.

Mengulas cabaran sepanjang tempoh kempen, Ketua Pemuda UMNO itu berkata, beliau tidak mempunyai masalah berdepan kritikan dan pelbagai dakwaan pihak lawan kerana percaya pengundi mampu menilai sendiri setiap maklumat yang disampaikan.

Beliau turut menyeru semua jentera parti yang bertanding supaya berkempen secara matang dan berhemah serta mengelakkan provokasi, fitnah dan kata-kata yang boleh memburukkan pihak lain.

DUN Merlimau menyaksikan persaingan satu lawan satu membabitkan Dr Muhamad Akmal dan Rahayu pada PRN Melaka ke-16.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 November.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top