am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tidak dapat tahan rasa sedih sebaik melihat keadaan rumah individu yang sudah beberapa hari meninggal dunia.
Itu pengalaman pekerja khidmat pembersihan forensik sambilan yang merupakan anggota Pertubuhan Pejuang Kifayah, Muhd Ammar Azhad Sabaran.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dia mula memasuki rumah berkenaan yang disifatkannya sebagai suram pada 2023.
“Yang paling teruk ialah bila saya masuk, walaupun mayat itu sudah tiada, tetapi cebisannya masih ada. Ada ulat yang masih hidup dan lalat berkeliaran di dalam bilik.
“Kita orang biasa tak pernah lalui keadaan macam itu. Saya juga terfikir macam mana jenazah itu sendiri mengalami keadaan seperti itu.
“Bila terlibat dengan pekerjaan pembersihan forensik ini, salah satu pengajarannya ialah amat menginsafkan.
“Disebabkan itu, saya sentiasa ingatkan kepada semua rakan, kalau kenal antara kita yang tinggal seorang diri di rumah, rajin-rajin bertanya khabar.
“Kebanyakan yang saya temui ketika buat pembersihan forensik, mereka ini meninggal dunia seorang diri di rumah,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.
Muhd Ammar yang bekerja sebagai juruteknik berkata, sepanjang hampir enam tahun pihaknya melakukan khidmat pembersihan forensik, tiada perkara mistik yang dialaminya setakat ini.
“Saya sendiri tak alami perkara mistik. Saya buat perkara ini atas dasar niat baik, bukanlah dasar keuntungan semata-mata.
“Kita nak tolong orang, kita nak berbuat baik, jadi niat kita kena betulkan. Daripada mula kita buat pembersihan itu, apa sebenarnya kita nak buat, apa tujuan kita,” katanya sambil memaklumkan pihaknya mengenakan caj bermula RM1,000 tertakluk kepada kawasan tercemar.
Menurutnya, pembersihan forensik rumah individu yang sudah beberapa hari meninggal dunia perlu dibuat dengan cara atau kaedah yang betul.
“Sebelum ini ada yang cuba buat sendiri namun akhirnya rumah tidak bersih dan bau itu masih lagi ada. Sedia maklum kalau seorang manusia yang hidup dan kemudian meninggal dunia di rumah lebih tiga empat hari, baunya sangatlah busuk.
“Baunya berbeza dan kalau masuk dalam otak itu, ia akan register benda baru. Disebabkan itu, tujuan pembersihan forensik untuk hilangkan bau dan keraguan,” katanya.
Muhd Ammar berkata, dari segi tempoh masa, minimum pihaknya memerlukan masa sehari dan maksimum tiga hari untuk melakukan pembersihan forensik di rumah bergantung kepada keluasan dan kawasan tercemar.
Beliau berkata, antara barangan digunakan untuk melakukan pembersihan forensik adalah pakaian perlindungan peribadi, pensanitasi mengandungi campuran alkohol dan bahan peluntur bagi mematikan kuman.
Katanya, segala barang terkesan dengan darah seperti sofa, tilam atau katil akan dibuang bagi memastikan kediaman yang dibersihkan terhindar daripada jangkitan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




