Forest perlu berubah atau Glasner jadi mangsa

Forest perlu berubah atau Glasner jadi mangsa

London: Oliver Glasner mengakui beliau mungkin menjadi pengurus kelima yang disingkirkan Nottingham Forest dalam tempoh lebih setahun sekiranya gagal mengubah permulaan hambar pasukan itu musim ini.

Forest tewas 0-2 kepada Brentford sekali gus kekal dalam kelompok tiga terbawah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas hanya mencatat satu kemenangan daripada sembilan perlawanan pembukaan.

Glasner yang sebelum ini mencipta kejayaan bersama Crystal Palace dalam dua musim terakhir sebelum berhijrah ke City Ground, mengakui perubahan perlu dilakukan bagi menyelamatkan kempen pasukannya.

“Kami perlu menerima hakikat bahawa prestasi ini tidak cukup baik.

“Jika kami tewas empat daripada lima perlawanan terakhir, ia sememangnya tidak cukup baik. Sebab itu bagi saya, sudah tiba masanya untuk kami melakukan perubahan, dan saya sendiri akan melakukannya,” katanya pada sidang media.

Forest menyaksikan pertukaran pengurus secara kerap sejak Nuno Espirito Santo berpisah dengan kelab itu pada September tahun lalu.

Selepas pemergian Nuno, Ange Postecoglou, Sean Dyche dan Vitor Pereira turut meninggalkan kerusi panas di City Ground.

“Saya rasa ada beberapa perkara yang sudah saya nampak sejak hari pertama. Mungkin saya terlalu banyak berkompromi dalam beberapa perkara dan keadaan itu perlu berubah.

“Saya akan beritahu pemain apa yang mahu kami lakukan dan apa yang perlu dilakukan. Jika mereka menerima pendekatan itu, saya percaya kami mampu mengubah keadaan.

“Jika tidak, pengurus keenam sejak permulaan musim lalu akan datang mengambil alih,” katanya.

Ditanya sama ada bimbang mengenai masa depannya, Glasner berkata beliau tidak terlalu memikirkan kemungkinan dipecat.

“Saya tidak mempunyai sebarang masalah. Saya pulang ke rumah dan bersarapan bersama keluarga. Itu bukan situasi yang paling buruk.

“Tiada siapa perlu bersimpati dengan Oliver Glasner atau mana-mana pengurus.

“Jika saya mahu, saya boleh mula bekerja di tempat lain dalam tempoh dua minggu. Tetapi saya tidak akan berbuat demikian. Pemain dan kakitangan pula masih perlu berdepan situasi sama.

“Ini situasi sukar yang dihadapi kelab sejak tahun lalu. Jadi, perubahan perlu dilakukan dan pembinaan semula perlu bermula dari bawah hingga ke atas.

“Bagi saya, perkara itu jelas dan itulah yang akan saya lakukan tanpa sebarang kompromi. Langsung tiada kompromi. Jika pendekatan itu tidak berhasil, mereka akan memaklumkan kepada saya,” katanya.

Glasner menegaskan beliau datang ke Nottingham bukan sekadar untuk mengisi masa lapang, sebaliknya mahu merealisasikan visi pemilik, penyokong dan kelab.

“Saya datang ke Nottingham untuk mencapai kejayaan. Saya mahu merealisasikan visi pemilik, penyokong dan kelab. Jadi, kita memerlukan perubahan lebih besar daripada apa yang saya jangkakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top