Kuala Lumpur: Pekerjaan pembersihan forensik atau forensic cleaning bukan pekerjaan hina, sebaliknya mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi kerana membantu menjaga kebersihan, kesihatan dan keselamatan masyarakat.
Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, pekerjaan itu halal dan mulia selagi dilaksanakan mengikut batas syarak serta mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.
“Walaupun pekerjaan ini membabitkan darah, sisa biologi manusia dan keadaan mungkin mengerikan, ia bukanlah pekerjaan yang hina di sisi Islam. Mereka bukan sekadar membersihkan kesan kematian, tetapi membantu memulihkan kehidupan insan yang ditinggalkan.
“Pekerjaan ini juga mempunyai kaitan rapat dengan tuntutan menjaga kebersihan, memelihara kesihatan dan melindungi nyawa manusia,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Beliau berkata, dari perspektif ‘maqasid syariah’, pekerjaan itu bertepatan dengan prinsip ‘hifz al-nafs’ (memelihara nyawa) kerana pembersihan yang dilakukan dapat mengurangkan risiko jangkitan penyakit, pencemaran dan kemudaratan kepada masyarakat.
Menurutnya, mengendalikan darah atau bahan najis bagi tujuan pembersihan adalah harus, namun pekerja wajib menjaga kebersihan diri dan memastikan badan, pakaian serta tempat solat bebas daripada najis ketika menunaikan ibadah.
“Malah, pekerjaan ini boleh menjadi suatu ibadah yang diberikan ganjaran pahala apabila dilakukan dengan niat ikhlas, penuh amanah dan bertujuan membantu manusia.
“Hakikatnya kemuliaan sesuatu pekerjaan bukan diukur berdasarkan bersih atau kotornya persekitaran kerja, tetapi berdasarkan kehalalan, kejujuran dan manfaat diberikan kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengamal pembersihan forensik juga perlu menjaga maruah dan privasi si mati serta keluarganya ketika menjalankan tugas.
Katanya, pekerja tidak sepatutnya mengambil atau menyebarkan gambar dan video keadaan mangsa, kesan darah atau barangan peribadi tanpa keperluan dan kebenaran yang sah.
“Pekerja juga tidak boleh menjadikan tragedi yang berlaku pada seseorang sebagai bahan hiburan, kandungan sensasi media sosial atau cerita yang membuka aib keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Sukki berkata, keluarga yang memilih untuk membersihkan sendiri lokasi kematian tidak dilarang berbuat demikian selagi kerja itu dilakukan dengan selamat, tidak mengganggu siasatan pihak berkuasa dan tidak mendatangkan kemudaratan.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya lokasi kematian membabitkan darah yang banyak, pereputan jasad, cecair biologi atau bahan berpotensi membawa jangkitan, keluarga sangat digalakkan mendapatkan khidmat pihak yang mempunyai kepakaran dalam pembersihan forensik.
“Islam tidak menuntut seseorang melakukan sesuatu di luar kemampuan sehingga membahayakan dirinya.
“Oleh itu, mendapatkan bantuan profesional bukanlah tanda seseorang mengabaikan tanggungjawab terhadap ahli keluarga yang meninggal dunia, sebaliknya adalah tindakan yang bijaksana dan selaras dengan tuntutan memelihara nyawa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




