Sihanoukville, Kemboja: Impian pasangan warga Amerika Syarikat (AS) untuk menghabiskan persaraan dengan mengelilingi dunia menggunakan kapal persiaran kediaman tidak kesampaian selepas pengendali kapal itu menghentikan operasi secara mengejut, lapor Reuters.
Lynn dan Paul Montoya menjual rumah serta kereta mereka di Wyoming bagi membolehkan mereka membeli kabin bernilai AS$179,000 (kira-kira RM727,000) di kapal persiaran Villa Vie Odyssey, selain membayar yuran bulanan kira-kira AS$6,000 (RM25,000).
Namun, impian itu hanya bertahan selama 17 bulan sebelum syarikat pengendalinya, Villa Vie Residences, mengumumkan minggu ini bahawa operasi terpaksa digantung berikutan kenaikan harga bahan api.
Syarikat itu memaklumkan kira-kira 200 penumpang, termasuk pasangan berkenaan, perlu turun dari kapal Odyssey ketika berlabuh di sebuah pelabuhan di Kemboja, bersama haiwan peliharaan dan barangan peribadi yang mampu dibawa keluar dari kediaman terapung mereka.
“Kami sebenarnya tidak banyak mengembara ke luar AS sehinggalah beberapa bulan sebelum menaiki kapal itu. Kami melihatnya sebagai peluang hebat untuk menjelajah dunia,” kata Paul kepada Reuters.
Ketidaktentuan mengenai masa depan kapal itu bukan sekadar menjejaskan rancangan percutian penumpang, sebaliknya turut memberi kesan kepada mereka yang membelanjakan puluhan ribu dolar dengan harapan menjadikan kapal berkenaan sebagai kediaman untuk tempoh bertahun-tahun.
Paul berkata, beliau tidak menjangkakan wang yang dibelanjakan akan dikembalikan kerana syarikat itu kehabisan wang sehingga tidak mampu membeli bahan api dan berdepan kesukaran membayar gaji kru kapal.
Villa Vie tidak menjawab pertanyaan yang dikemukakan melalui e-mel atau panggilan telefon.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, syarikat itu berkata pihaknya sedang berusaha menyusun semula struktur kewangan dan mendapatkan suntikan modal baharu, namun belum memuktamadkan sebarang perjanjian.
“Usaha itu masih diteruskan dan tiada jaminan mengenai hasilnya,” menurut kenyataan itu, sambil menambah pihaknya sedang berusaha membantu penumpang yang terjejas.
Paul berkata, ketika perang dengan Iran berlarutan dan harga bahan api meningkat, penumpang mula menyedari pelbagai masalah di atas kapal Odyssey.
Menurutnya, syarikat itu meminta penumpang membuat bayaran tambahan, malah memohon mereka memberikan pinjaman bagi menampung kos bahan api.
Beliau berkata, keadaan semakin membimbangkan apabila kapal tiba di Kemboja tanpa kemudahan internet, manakala kualiti makanan mula merosot sejak kira-kira tiga bulan lalu.
Pasangan itu berkata, mereka kini merancang menggunakan wang yang sebelum ini diperuntukkan untuk membayar yuran bulanan bagi menampung kehidupan, selain bercadang menghabiskan masa di Malaysia.
Lynn berkata, perkara yang paling dirinduinya bukan wang yang hilang, sebaliknya komuniti penumpang yang dibina sepanjang berada di atas kapal itu.
“Memang sukar untuk kehilangan wang sebanyak itu, tetapi saya juga melihatnya dari sudut kami sudah menghabiskan 17 bulan mengunjungi tempat yang menakjubkan dan bertemu insan yang hebat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




