Kekal MotoGP, teliti bawa balik F1 ke Malaysia – MP Sepang

Kekal MotoGP, teliti bawa balik F1 ke Malaysia – MP Sepang

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kerajaan diminta mempertimbangkan usaha mengekalkan penganjuran MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), selain menilai secara serius potensi membawa kembali perlumbaan Formula 1 (F1) ke Malaysia.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, SIC perlu diperkukuhkan sebagai aset strategik negara yang bukan saja menjadi lokasi penganjuran acara sukan permotoran antarabangsa, malah berupaya menjana pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Beliau berkata, masa depan SIC tidak seharusnya dinilai berdasarkan kos penganjuran acara tahunan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pulangan pelaburan, pembangunan industri, peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.

Katanya, beliau menyokong usaha SIC memperkukuh kemampanan kewangan, mempelbagaikan sumber pendapatan dan memaksimumkan potensi ekonominya, termasuk memastikan kesinambungan penganjuran MotoGP serta meneliti kemungkinan membawa kembali F1 ke Malaysia.

“Matlamatnya bukan sekadar membawa perlumbaan bertaraf dunia ke Malaysia, tetapi memastikan setiap pelaburan menjana pulangan ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan membawa manfaat nyata kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keputusan meneruskan hak penganjuran MotoGP Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2031 membabitkan komitmen pembiayaan keseluruhan dianggarkan RM457 juta dalam tempoh lima tahun.

Katanya, model perkongsian kos yang menyaksikan tanggungan SIC meningkat secara berperingkat daripada 10 peratus pada 2027 kepada 50 peratus pada 2031 memerlukan pembaharuan model perniagaan lebih mampan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan SIC memperluas sumber pendapatan menerusi penajaan korporat, hak komersial, pakej hospitaliti, penyewaan fasiliti serta kerjasama strategik dengan pengeluar automotif dan rakan industri antarabangsa.

Mengenai potensi F1 kembali ke Malaysia, Aiman Athirah berkata, kajian kebolehlaksanaan yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada November ini perlu menilai kos penganjuran, komitmen operasi, penajaan, pendapatan komersial dan pulangan bersih kepada negara.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran Grand Prix Bahrain di SIC pada 2 hingga 4 Oktober lalu dengan kehadiran kira-kira 261,000 penonton sepanjang tiga hari, menunjukkan potensi litar berkenaan menarik acara sukan permotoran bertaraf antarabangsa.

Katanya, laporan media turut menganggarkan impak ekonomi penganjuran itu mencecah RM950 juta.

“Keputusan membawa kembali F1 tidak boleh berasaskan nostalgia, prestij atau jumlah kehadiran penonton semata-mata. Ia mesti berpandukan kajian ekonomi yang teliti.

“Kerajaan juga wajar meneliti beberapa pilihan model penganjuran, termasuk secara tahunan, berkala atau kerjasama strategik dengan negara dan rakan antarabangsa bagi berkongsi kos serta risiko,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, manfaat penganjuran acara permotoran antarabangsa perlu diperluaskan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pengusaha tempatan serta komuniti sekitar Sepang dan Selangor.

Katanya, sektor perhotelan, penerbangan, pengangkutan, makanan dan minuman, peruncitan serta pelancongan antara industri yang berpotensi menerima limpahan ekonomi.

Beliau turut mencadangkan SIC dibangunkan sebagai hab ekonomi sukan permotoran sepanjang tahun melalui penganjuran acara antarabangsa, ujian dan pembangunan kenderaan, latihan teknikal, persidangan industri serta penyewaan fasiliti.

Katanya, kerjasama dengan universiti, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemain industri automotif juga boleh membuka peluang pembangunan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Aiman Athirah berkata, kerajaan perlu memastikan setiap pelaburan di SIC disertai penilaian pulangan pelaburan yang telus, model pembiayaan pelbagai pihak serta petunjuk prestasi yang boleh diukur.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top