Bayi didakwa didera di Taman Perling, pengasuh mengaku tidak bersalah

Bayi didakwa didera di Taman Perling, pengasuh mengaku tidak bersalah

am@hmetro.com.my

Johor Bharu: Polis mengesahkan menerima laporan kes seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang cedera di badan, disyaki didera pengasuhnya di Taman Perling di sini, September lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor, berkata suspek seorang wanita tempatan berusia 36 tahun ditahan polis pada 19 September lalu, dan sudah dituduh di mahkamah Johor Bahru.

Azrol Anuar berkata, kejadian mula disedari ibu mangsa yang berusia 35 tahun pada 18 September lalu, kira-kira jam 6 petang, selepas melihat kesan lebam pada beberapa bahagian badan bayinya selepas diambil suaminya dari rumah pengasuh terbabit.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, menahan suspek keesokannya pada jam 1.30 petang, di kawasan Taman Perling bersama rampasan sebatang rotan.

“Hasil semakan mendapati, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala ujian saringan awal air kencing juga mendapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Kertas siasatan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor pada 23 September lalu dan mendapat arahan untuk menuduh suspek,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azrol Anuar berkata, pendakwaan ke atas suspek sudah dijalankan di mahkamah pada 24 September lalu di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, kerana menganiaya, mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak kepada risiko kecederaan fizikal atau emosi.

Katanya, suspek mengaku tidak bersalah dan kini menunggu tarikh untuk dibicarakan.

Terdahulu, satu hantaran di media sosial tular sebelum dikesan polis kira-kira jam 4 petang semalam yang memaparkan insiden berkenaan.

Pada masa sama, Azrol Anuar menegaskan pihaknya memandang serius insiden itu dan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana salah laku jenayah seumpamanya, demi memastikan hak serta kepentingan kanak kanak sentiasa terpelihara.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah, digesa menyalurkannya terus kepada pihak polis menerusi hotline IPD Johor Bahru Utara di talian 07-5563122.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top