BELGRADE – Nama Ilija Srdanovic meraih perhatian ramai selepas muncul sebagai tokoh dihormati dalam landskap politik negara itu selepas Senarai Pelajar yang diwakilinya mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Serbia yang berlangsung pada minggu lalu.
Pakar kardiologi berusia 56 tahun itu kini menjadi tumpuan selepas gabungan tersebut meraih 52 peratus undi dan 138 daripada 250 kerusi Parlimen, sekali gus menamatkan dominasi politik Presiden Aleksandar Vucic selama 12 tahun.
Mesej yang disampaikannya selepas keputusan diumumkan mencerminkan aspirasi gerakan tersebut untuk membawa perubahan besar kepada negara Balkan berkenaan.
“Tiada lagi pemerintah zalim di negara kita,” tegas Srdanovic ketika berucap di hadapan para penyokongnya. Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap masa depan Serbia dengan menegaskan ‘negara ini sedang menuju ke arah yang lebih baik’.
Namun, di sebalik kemunculannya sebagai wajah utama gerakan itu, Srdanovic bukanlah ahli politik konvensional. Meskipun Senarai Pelajar itu mencatat kemenangan besar pada pilihan raya, cabaran seterusnya adalah untuk menentukan kepimpinan kerajaan baharu termasuk calon yang bakal mengisi jawatan Perdana Menteri.

Penyokong Senarai Pelajar berhimpun di dataran utama di Belgrade.
‘Askar sepanjang hayat’
Ilija Ljubisav Srdanovic dilahirkan di Novi Sad pada 1970 dan membesar di Vrbas, di mana beliau mendapat pendidikan awal sekolah rendah dan menengah.
Beliau menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Novi Sad pada 1995, mendapat kelayakan sebagai pakar kardiologi pada 2004 sebelum memperoleh ijazah kedoktoran pada 2012.
Sejak 1997, beliau berkhidmat di Institut Penyakit Kardiovaskular Vojvodina di Sremska Kamenica yang terletak tidak jauh dari Novi Sad dan turut menjadi tenaga pengajar perubatan kecemasan di Fakulti Perubatan Novi Sad sejak 2018 sebelum dilantik sebagai profesor kanan pada 2025.
Bidang kepakaran beliau ialah prosedur menutup lubang pada dinding pemisah antara ruang jantung menggunakan kateter khususnya bagi kecacatan jantung yang dikenali sebagai patent foramen ovale (PFO) dan atrial septal defect (ASD).
Srdanovic menggelar dirinya sebagai seorang ‘askar sepanjang hayat’. Beliau merujuk pengalamannya sebagai anggota tentera kerahan yang pernah memegang senjata ketika perang sebelum meneruskan perjuangan sebagai doktor demi menyelamatkan nyawa pesakit.

Rakyat meraikan kemenangan gerakan pelajar itu yang berjaya menumbangkan pentadbiran Presiden Aleksandar Vucic.
Terus berjuang
Sejak dari awal, Srdanovic menyokong gerakan protes pelajar yang tercetus susulan tragedi runtuhan bumbung konkrit di stesen kereta api Novi Sad yang meragut 16 nyawa pada 1 November 2024.
Pada Mac 2025, beliau dipanggil polis Novi Sad untuk memberikan keterangan, beberapa hari selepas akhbar tabloid, Informer melabelkannya sebagai ‘profesor angkuh’.
Cemuhan segelintir pihak tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang. Beliau turut berucap dalam beberapa perhimpunan pelajar termasuk di Dataran Slavija, Belgrade pada 23 Mei lalu.
Senarai Pelajar menampilkan 250 calon terdiri daripada pelbagai latar belakang diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Republik (RIK) pada 14 September. Wakil pelajar menegaskan bahawa calon-calon tersebut dipilih melalui sidang pleno pelajar, bukannya oleh pemimpin parti politik.
Menurut akhbar mingguan Vreme, majoriti tipis ketika sidang pleno memilih untuk tidak meletakkan Rektor Universiti Belgrade, Vladan Dokic sebagai ketua gerakan itu, sebaliknya Srdanovic dilantik untuk memimpin mereka.
Bagi Srdanovic, penglibatannya dalam gerakan itu bukan sekadar sokongan politik malah lahir daripada rasa tanggungjawab terhadap masyarakat. Beliau turut menekankan kepentingan mempertahankan kebebasan, menghormati sesama insan dan berbakti kepada masyarakat.
Prinsip tersebut menjadi antara pendorong utama penglibatannya dalam gerakan yang memperjuangkan tranformasi pentadbiran di Serbia. – Agensi



