Niat tumpang berteduh bawa tuah, kanak-kanak juara mewarna reruai NSTP

Niat tumpang berteduh bawa tuah, kanak-kanak juara mewarna reruai NSTP

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Niat menumpang berteduh di reruai The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) pada hari pertama Karnival Jom Heboh (KJH) di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall di sini, membawa tuah buat kanak-kanak berusia sembilan tahun apabila memenangi pertandingan mewarna di reruai berkenaan.

Tunku Mohamad Aisy Sufi Tunku Muhamad Naufal dari Larkin sekadar suka-suka menyertai pertandingan berkenaan kerana kebetulan melalui kawasan hadapan reruai itu.

Ibunya, Rohana Ahmad, 39, berkata, anak lelakinya itu memang suka melakukan aktiviti mewarna dan sering memasuki pertandingan seumpama itu.

“Anak-anak dah lama pesan ada KJH di sini, tetapi tak tahu pula ada pertandingan mewarna. Kami lalu dan nak tumpang berteduh sekejap, bila tahu ada pertandingan mewarna, anak memang suka dan terus sertainya.

“Tak sangka pula dapat tempat pertama. Harap kalau ada pertandingan begini lagi, perlu diuar-uarkan supaya anak-anak dapat buat persiapan dan bawa kelengkapan mewarna bagi memberikan hasil yang lebih baik,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Mewarna di reruai NSTP, di tapak KJH di sini, hari ini.

Dengan kejayaan itu, Tunku Mohamad Aisy Sufi berjaya membawa pulang hadiah yang keseluruhannya bernilai RM250 yang disampaikan Pegawai Eksekutif Kanan Jabatan Penjenamaan dan Harta Intelek NSTP, Wan Fazly Hizam Wan Kadir.

Tempat kedua dimenangi Adwa Zakwan, 7, dari Taman Perling yang membawa pulang hadiah bernilai RM200, manakala tempat ketiga menjadi milik Muhammad Yusuf Iskandar Mohd Zulfazli, enam tahun, dari Skudai yang menerima hadiah RM150.

Sementara itu, Ketua Jabatan Penjenamaan dan Harta Intelek NSTP, Tengku Kaifimirza Tuan Cherit @ Tengku Hamzah, berkata, sambutan yang diterima daripada pengunjung amat menggalakkan sejak dari hari pertama KJH bermula, Jumaat lalu.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar bertujuan memeriahkan suasana dan menghiburkan kanak-kanak, malah menjadi medium strategik untuk menanam jenama NSTP dalam jiwa generasi muda sejak usia awal.

“Matlamat utama kita adalah memastikan ibu bapa gembira melihat anak-anak terhibur, sekali gus mendekatkan jenama NSTP kepada seisi keluarga terutamanya anak-anak,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berbesar hati menerima tajaan daripada pasar raya Econsave bagi hadiah pertandingan.

“Kita juga berikan ‘goodies’ percuma kepada peserta pertandingan yang mengandungi produk penaja daripada Julie’s, Nestle, Yakult dan Nibou selain pensil warna dan buku cerita dari Perpustakaan Awam Pulau Pinang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top