PRN Melaka: Jentera BN diingatkan fokus rekod prestasi dan dasar elak serangan peribadi

PRN Melaka: Jentera BN diingatkan fokus rekod prestasi dan dasar elak serangan peribadi

am@hmetro.com.my

Masjid Tanah: Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya memberi tumpuan kepada rekod prestasi dan tawaran dasar kepada rakyat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bukannya menggunakan pendekatan berasaskan emosi, fitnah atau serangan peribadi terhadap pihak lawan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendekatan kempen perlu menjurus kepada penerangan mengenai agenda yang mahu dilaksanakan kepada rakyat serta pencapaian sepanjang tempoh empat tahun pentadbiran negeri.

“Kita bertanggungjawab atas prestasi, bukan main emosi. Kita tak payah maki hamun orang, kita tak payah buat fitnah.

“Kita hanya menerangkan apa agenda yang kita nak buat kepada rakyat dan prestasi apa yang kita telah buat selama empat tahun,” katanya ketika berucap pada program Ramah Mesra bersama DUN Taboh Naning di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Cherana Puteh, di sini, hari ini.

Turut hadir, penyandang DUN Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka kali ini menunjukkan perkembangan positif apabila jentera kedua-dua gabungan bergerak bersama di peringkat akar umbi.

“Kerjasama ini bukan sahaja di peringkat kepimpinan tertinggi, tetapi juga di peringkat bahagian, kawasan dan penyokong. Saya percaya ini menunjukkan bahawa akar umbi memang mahukan kerjasama ini,” katanya.

Beliau berkata, manifesto bersama BN-PN yang pada awalnya dijangka dilancarkan lebih awal ditangguhkan kepada Selasa ini (3 November) bagi membolehkan kedua-dua gabungan menyelaraskan tawaran dan agenda masing-masing.

Asyraf turut mengingatkan jentera supaya tidak mengambil mudah persaingan, sebaliknya terus mendekati semua kelompok pengundi tanpa mengira kaum, usia dan kecenderungan politik menjelang hari pengundian pada 14 November ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top