suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Alor Gajah: Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ginie Lim Siew Lin di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya akan terus perjuangkan isu asas membabitkan infrastruktur, kebajikan, keselamatan kanak-kanak dan wanita, keselamatan jalan raya serta persekitaran.
Ginie yang juga Ketua Penerangan Wanita PKR berkata, sambutan positif diterima ketika melakukan lawatan mesra sejak hari pertama kempen selepas penamaan calon memberi dorongan untuknya terus mendapatkan sokongan penduduk.
Pengalamannya sebagai ADUN Machap Jaya pada penggal 2018 hingga 2021 menjadi kelebihan dalam menawarkan khidmat kepada penduduk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
“Pengalaman serta rekod perkhidmatan lalu masih diingati sebahagian penduduk, sekali gus mendorong saya menawarkan perkhidmatan lebih baik sekiranya diberi peluang mewakili kawasan berkenaan.
“Saya optimis untuk terus meraih sokongan supaya dapat memberi perkhidmatan lebih baik daripada apa yang saya tawarkan dulu.
“Kita sekarang masuk era politik yang baharu, rakyat sudah bijak menilai. Rakyat menilai dari segi kemampuan, keupayaan, pengalaman, visi dan perancangan yang dibawa oleh calon,” katanya ketika ditemui selepas lawatan mesra di Taman Pengkalan Indah, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pendekatan politik yang mengutamakan tawaran konkrit dan jelas kepada rakyat perlu diberi perhatian berbanding budaya politik yang hanya dipenuhi pertelingkahan, cacian dan makian.
Selain itu, Ginie mahu memberi tumpuan kepada usaha memperkasa ekonomi wanita dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta pembangunan kemahiran untuk golongan muda.
Katanya, golongan wanita termasuk ibu tunggal boleh memanfaatkan peluang mendapatkan persijilan dan pentauliahan dalam bidang pengasuhan kanak-kanak, sekali gus membuka ruang pekerjaan sama ada dari rumah atau di taska.
“Anak muda juga perlu diberi lebih banyak pendedahan mengenai peluang yang ada, sama ada pembiayaan daripada kerajaan ataupun latihan kemahiran.
“Berdasarkan pengalaman saya berkhidmat di Invest Melaka dan berurusan dengan industri, peluang untuk anak muda sebenarnya besar, khususnya dalam industri berteknologi tinggi seperti semikonduktor, elektronik dan elektrik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ginie berkata, beliau masih menunggu maklum balas dua calon lawan berhubung jemputan mengadakan dialog terbuka bagi memberi peluang kepada pengundi menilai tawaran serta perancangan setiap calon.
“Itu sebenarnya bukan perdebatan, bukan bahas, kita cuma nak berdialog dan itu pun bukan cabaran, itu menjemput.
“Jadi, saya masih menunggu lagi tarikh daripada mereka ini sebab saya hormat mereka, masing-masing ada jadual kempen yang sangat-sangat sibuk,” katanya.
Untuk rekod, kerusi DUN Machap Jaya menyaksikan persaingan tiga penjuru pada pilihan raya kali ini apabila penyandangnya, Datuk Ngwe Hee Sem, bakal dicabar Ginie dan calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) Prasanth Kumar Brakasam.
DUN Machap Jaya mempunyai 16,030 pemilih berdaftar.
Pada PRN 2021, Ngwe berjaya mempertahankan kerusi berkenaan untuk BN selepas memperoleh 3,732 undi dengan majoriti 938 undi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




