Siti Nurhaliza lakar sejarah Asia

Siti Nurhaliza lakar sejarah Asia

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Buduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi membuktikan kehebatannya di persada seni serantau apabila berjaya mencatat dua pengiktirafan berprestij menerusi ASEAN Records dan Asia Records.

Pengiktirafan pertama menerusi ASEAN Records diberikan atas kejayaannya meraih jumlah penonton terbesar bagi dua konsert solo berskala stadium oleh artis rakaman berbahasa Melayu (Largest Combined Audience for Two Solo Stadium Concerts by a Malay-Language Recording Artist).

Rekod berkenaan mencatatkan seramai 145,000 orang penonton secara keseluruhan menerusi penganjuran Konsert Legacy 30 (10 Januari 2026) dan Konsert Tradisional Gema Bumantara (17 Oktober 2026) yang dijayakan dalam tempoh 10 bulan sahaja.

Tidak terhenti di situ, namanya turut tercatat dalam Asia Records menerusi konsert solo muzik tradisional wanita yang terbesar dan paling ramai dihadiri (Largest and Most-Attended Solo Traditional Music Concert by a Female Recording Artist).

Menerusi Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung pada 17 Oktober lalu, Siti Nurhaliza menghiburkan seramai 73,000 penonton dengan mempersembahkan sebanyak 34 buah lagu tradisional secara langsung selama lebih tiga jam 30 minit.

Pencapaian luar biasa ini bukan sahaja mengukuhkan statusnya sebagai legenda muzik tanah air, malah menjadi penanda aras baharu bagi industri seni suara di rantau Asia.

Kedua-dua anugerah disampaikan oleh Penasihat Rekod ASEAN dan Asia Tan Sri Profesor Abdul Latiff Abu Bakar pada Malam Apresiasi Meraikan Kejayaan Konsert Legacy 30 dan Konsert Tradisional Gema Bumantara yang berlangsung di KLGCC Convention Centre.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top