DAP teruskan persiapan PRN-13 Sarawak tanpa tunggu keputusan rasmi PKR

DAP teruskan persiapan PRN-13 Sarawak tanpa tunggu keputusan rasmi PKR

mdroji@bh.com.my

Kuching: DAP akan meneruskan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13) Sarawak walaupun PKR masih belum memutuskan pembabitannya kerana masih menunggu keputusan muktamad Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, sudah ada komunikasi antara kedua-dua parti, namun belum ada kata putus daripada PKR.

Katanya, DAP bagaimanapun tidak akan menangguhkan persiapan menghadapi pilihan raya negeri itu semata-mata menunggu keputusan PKR.

“Setakat ini, belum diketahui sama ada PKR akan bertanding atau tidak dalam pilihan raya negeri ini. Segala-galanya bergantung kepada keputusan PMX.

“Agak sukar bagi parti komponen lain untuk menunggu sehingga keputusan dibuat sebelum memulakan persiapan kerana masa terus berjalan, tetapi kita perlu bergerak dan membuat persiapan setakat yang berada dalam kawalan kita,” katanya.

Mengulas kemungkinan kerjasama dengan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Chieng Jen yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak berkata, DAP Sarawak akan mengadakan pertemuan dengan presiden parti itu bagi membincangkan potensi kerjasama menjelang PRN-13.

Beliau berkata, kedua-dua parti mempunyai banyak persamaan dan berdepan pihak lawan yang sama, sekali gus membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama dalam kalangan pembangkang.

“Masih terlalu awal untuk mengatakan DAP dan PBDS akan bekerjasama, tetapi kita mempunyai banyak persamaan dan satu pihak lawan yang sama.

“Itu menjadi asas kepada kerjasama, namun bagaimana untuk memformalkannya masih memerlukan perbincangan lanjut. Kita akan mengadakan pertemuan dengan presiden mereka,” katanya.

Chieng Jen berkata, matlamat utama DAP adalah memperkukuh peranan pembangkang sebagai kuasa semak dan imbang terhadap dominasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

DAP hanya memenangi dua kerusi daripada keseluruhan 82 kerusi DUN Sarawak pada pilihan raya negeri lalu, sekali gus mengehadkan kekuatan suara pembangkang dalam persidangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top