hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan berhubung tindakan seorang wanita yang didakwa menolak dan memukul dua kanak-kanak di sebuah pusat beli-belah di ibu negara semalam.
Kes itu mula mendapat perhatian selepas satu rakaman video berdurasi 35 saat tular di platform Threads dan Facebook.
Video berkenaan memaparkan kekecohan dan pertengkaran mulut antara bapa kanak-kanak terbabit dengan wanita berkenaan di lokasi kejadian, yang rata-ratanya mencetuskan kemarahan warganet.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, polis mengesan video berkenaan dan menerima laporan rasmi daripada bapa mangsa pada jam 7.39 malam, hari yang sama.
“Ketika kejadian pada jam 3 petang, pengadu (lelaki berusia 36 tahun) sedang berjalan bersama dua anaknya yang masing-masing berumur dua dan tujuh tahun.
“Tiba-tiba seorang wanita yang tidak dikenali menolak anak lelakinya dari arah belakang sehingga terjatuh, selain memukul bahagian belakang kepala anak perempuannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Azwan berkata, polis memandang serius kejadian berkenaan dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi merungkai punca sebenar insiden itu.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan atau berkongsi maklumat yang belum disahkan sehingga boleh menjejaskan siasatan,” katanya.
Beliau berkata, saksi atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222, atau tampil ke mana-mana balai polis berdekatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




