am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Saya tidak nafikan, sangat banyak terhutang budi dengan arwah Johan sepanjang dia menjadi pengurus saya dulu,”
Demikian luahan vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 55, ketika berkongsi kenangan ketika karier seninya diuruskan bekas pengurus, Allahyarham Johan Aziz.
Zamani berkata, Allahyarham Johan menguruskan karier kumpulan Slam termasuk ketika zaman kegemilangan mereka selama 26 tahun dalam industri muzik tanah air.
“Arwah Johan memang banyak membantu dan bertanggung-jawab dalam
menaikkan nama saya dalam industri muzik tanah air.
“Saya juga berasa selesa diuruskan arwah kerana segala benda dia yang uruskan termasuk tempat tinggal ketika permulaan karier seni saya dulu.
“Cuma bila arwah sudah sakit barulah kita kena bawa haluan sendiri,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, kata Zamani, Allahyarham Johan juga seorang pengurus yang sangat menjaga kebajikan artis dan tidak berkira soal duit.
“Saya masih ingat lagi, masa itu saya tinggal di Kuala Lumpur dan anggota Slam pula duduk menyewa di Bukit Antarabangsa. Arwah pula memang jenis tidak berkira dan kalau ada duit dia akan bagi pada kita semua.
“Sebagai pengurus, arwah Johan seorang yang tegas dalam soal kerja tapi dia faham perangai saya dan pandai pula mengambil hati kita semula,” katanya.
Pada masa sama, kata Zamani, dia juga masih mengambil berat kesihatan Allahyarham Johan meskipun beliau tidak lagi menguruskan karier nyanyiannya.
“Saya juga masih ambil berat pasal arwah sejak
dia sakit kerana sudah menganggapnya macam keluarga.
“Tapi, saya tidak berasa terkilan dengan berita pemergian arwah kerana kerap menziarahinya ketika sakit di hospital termasuk kali terakhir minggu lalu.
“Memang saya berasa sedih bila kehilangannya tapi saya reda kerana arwah Johan sudah lama sakit dan kita sudah tengok dari fasa dia sihat hingga berat badannya turun kepada 32 kilogram sahaja kerana penyakit kansernya itu,” katanya yang sempat menziarahi jenazah arwah di Surau Fatimah Az-Zahra’ Ampang, petang tadi sebelum bergerak ke Jengka, Pahang bersama isterinya.
Terdahulu, Allahyarham Johan menghembuskan nafas terakhir pada usia 61 tahun akibat kanser usus dan tulang di kediamannya Taman Kosas, Ampang Jaya, Selangor pada jam 12.20 tengah hari tadi.
Berita pemergiannya dikongsikan oleh anak kedua Allahyarham, Nurul Halimahtul Saadiah Mohd Johan.
Jenazah Allahyarham Johan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang selepas solat Asar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




