Berlari untuk sihat!

Berlari untuk sihat!

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pagi hari ketiga Karnival Jom Heboh (KJH) ‘dipanaskan’ dengan Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang menyaksikan penyertaan sangat menggalakkan.

Peserta yang sudah berkumpul seawal jam 5.30 pagi memulakan acara larian itu dengan aksi pemanas badan pada jam 6.30 pagi sebelum larian dilepaskan Pengarah Projek KJH, Eileen Lim, jam 7.30 pagi.

Turut serta, Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, Nursyahida Abdullah dan Wakil Wilayah Selatan KWSP, Muhammad Shamir Muhammad.

Menurut Eileen, acara larian itu sebahagian daripada inisiatif KJH selaku karnival kekeluargaan selain mempromosikan kesihatan dan gaya hidup sihat kepada semua masyarakat.

“Cuaca di Johor baik hari ini walaupun sebelum ini diuji dengan jerebu, tetapi tiga hari ini semua dah pulih, sebab itu kita dapat penyertaan yang amat menggalakkan.

“Peserta di Johor juga lari laju, kita ingat jam 10 pagi baru habis, rupa-rupanya jam 9 pagi, ada yang dah selesai lari,” katanya.

Eileen berkata, acara larian fun run itu akan diwajibkan di setiap lokasi KJH selepas ini memandangkan sambutan yang diterima amat luar biasa.

Jom Heboh Fun Run Lari Baik-Baik bersama KWSP meneruskan langkah ke Johor Bahru selepas menerima sambutan menggalakkan di Kota Samarahan dan Miri dengan dua kategori larian iaitu lima kilometer (km) dan lapan km.

Rata-rata peserta yang ditemui melahirkan rasa puas hati dan gembira atas peluang menyertai larian berkenaan termasuk peserta dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).

Bagi Muhammad Hafiz Haikal Sham, 36, sebagai peserta OKU, ia memberikan cabaran apabila melalui laluan yang berbukit, namun dia yang menaiki kerusi roda dapat menamatkan acara dengan lancar.

“Trek dia mula-mula mencabar juga sebab jalan semua naik bukit kan, tetapi bila dah di pertengahan jalan dah landai semua baik-baik saja.

“Cuma akan datang mungkin boleh tambah naik sikit sebab mesti akan ada orang OKU dan pengguna kerusi roda sertai acara,” katanya selepas tamat acara larian itu.

Pada acara itu, setiap peserta menerima medal finisher eksklusif, jersi rasmi, tote bag, bib eksklusif serta goodies menarik selain ditawarkan Pakej Keluarga bagi kategori lima km dengan kadar khas untuk empat orang dalam satu pendaftaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top