Bawa nyawa bukan sekadar penumpang

Bawa nyawa bukan sekadar penumpang

am@hmetro.com.my

Mengemudi feri bukan sekadar mengendalikan kapal merentasi lautan, sebaliknya memikul amanah besar bagi memastikan ratusan penumpang tiba di destinasi dengan selamat.

Di semua sebalik itu, seorang kapten bukan sahaja perlu menguasai selok-belok pelayaran, malah dituntut sentiasa tenang membuat keputusan terutama apabila cuaca berubah dan laut mula bergelora.

Bagi mereka, setiap pelayaran membawa tanggungjawab besar kerana satu keputusan yang dibuat boleh menentukan keselamatan ratusan nyawa.

“Selagi belum sampai ke pelabuhan yang dituju, hati saya tidak tenang, lebih-lebih lagi apabila cuaca tidak mengizinkan kerana saya bertanggungjawab membawa ramai nyawa.

Demikian luahan Kapten Rodzi Razak yang sudah 26 tahun berkhidmat sebagai kapten feri mengemudi feri merentasi perairan antara Langkawi dan tanah besar.

Baginya, tugas mengendalikan feri bagi setiap pelayaran bukan sekadar perjalanan membawa penumpang ke destinasi semata-mata sebaliknya amanah besar yang menuntut ketenangan, ketelitian dan keberanian membuat keputusan.

Walaupun berpengalaman lebih dua dekad di laut, Rodzi mengakui debaran tetap dirasai setiap kali berhadapan keadaan cuaca buruk, terutama apabila laut bergelora dan ombak besar mengancam kelancaran pelayaran.

Katanya, pengalaman mengemudi feri mengajarnya bahawa keselamatan penumpang perlu menjadi keutamaan mengatasi segala-galanya, termasuk jadual perjalanan dan desakan untuk tiba tepat pada waktunya.

“Apabila cuaca buruk dan keadaan laut tidak mengizinkan kami meneruskan pelayaran, kami terpaksa berpatah balik demi keselamatan penumpang serta mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Dalam keadaan begitu, kami akan mengurangkan kelajuan feri dan meminta semua kru memastikan penumpang duduk di tempat masing-masing.

“Jika penumpang masih berdiri ketika feri dilambung ombak, risiko mereka terjatuh atau mengalami kecederaan lebih tinggi sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Menurutnya, keputusan berpatah balik bukan sesuatu yang mudah kerana ia turut memerlukan penyelarasan dengan pihak berkaitan bagi memastikan perjalanan penumpang dapat diuruskan sebaiknya.

Justeru, pihak kawalan termasuk Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan pengurusan syarikat perlu dimaklumkan mengenai keadaan semasa serta keputusan yang diambil.

“Maklumat itu penting bagi membolehkan pihak syarikat membuat persediaan susulan termasuk mempertimbangkan perubahan laluan perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah atau Kuala Perlis, mengikut keadaan dan keperluan operasi.

“Cabaran cuaca lazimnya lebih dirasai ketika musim monsun barat daya atau perubahan cuaca yang menyebabkan keadaan laut tidak menentu, memandangkan perairan Kedah dan Perlis terdedah kepada pengaruh cuaca dari arah barat,” katanya.

Rodzi berkata, sepanjang tempoh 26 tahun itu, dia pernah berdepan situasi feri tiba-tiba berhenti di tengah laut, namun bersyukur kerana tidak pernah mengalami kejadian feri terkandas.

Katanya, pengalaman itu mengajarnya bahawa setiap situasi di laut memerlukan tindakan berdasarkan keadaan sebenar, bukannya keputusan terburu-buru.

“Apabila feri terpaksa berpatah balik, kebanyakan penumpang memahami keputusan berkenaan, malah ada yang lebih rela kembali ke pelabuhan daripada meneruskan perjalanan dalam keadaan laut bergelora.

“Bukan semua penumpang pernah merasai pengalaman berada di tengah laut ketika ombak besar menghempas feri.

“Ada yang mungkin tidak pernah berdepan keadaan laut bergelora. Jadi, mereka mungkin tidak dapat membayangkan risikonya,” katanya.

Rodzi berkata, apabila keadaan tidak selamat, mereka perlu membuat keputusan yang betul dan lebih baik perjalanan mengambil masa lebih lama daripada kita mengambil risiko yang boleh membahayakan nyawa.

Menurutnya, feri berkenaan mampu membawa kapasiti sehingga 547 penumpang apabila beroperasi pada kapasiti penuh.

“Jumlah penumpang lazimnya meningkat pada Khamis hingga Ahad, manakala pada hari biasa, bilangan penumpang tidak semestinya memenuhi kapasiti feri.

“Keadaan itu turut menuntut kru sentiasa bersedia mengendalikan penumpang dalam jumlah yang ramai, terutama ketika musim cuti dan perjalanan hujung minggu,” katanya.

Menurutnya, aspek keselamatan dan susunan penumpang tetap diberikan perhatian dalam operasi perkhidmatan feri.

Bagi kapten yang masih baharu, pengalaman mengendalikan feri pula menjadi proses pembelajaran penting dalam memahami selok-belok pelayaran dan berdepan perubahan cuaca yang tidak menentu.

Mohd Asyraf Khairul Anuar, 33, yang hampir setahun memegang jawatan kapten feri turut berdepan tanggungjawab besar memastikan keselamatan penumpang sepanjang perjalanan.

Walaupun masih baharu dalam bidang itu, tugas berkenaan menuntutnya sentiasa peka terhadap keadaan cuaca, mematuhi prosedur keselamatan dan memastikan pengurusan penumpang berjalan lancar.

“Sebelum ini saya sudah ada pengalaman mengemudi feri, jadi saya gunakan sepenuhnya untuk memastikan keselamatan penumpang terjamin kerana saya bawa ratusan nyawa manusia,” katanya.

Katanya, bagi seorang kapten, setiap keputusan perlu dibuat berdasarkan keadaan semasa kerana keselamatan penumpang menjadi keutamaan dalam setiap pelayaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top