zhahirah@hmetro.com.my
Beliau bukan pelajar paling bijak dalam kelas, malah pernah meragui kemampuan diri sendiri, namun kekurangan itu tidak menghalang Dr Hanis Hidayu Kasim, 40, membuktikan anak kampung juga mampu menjejakkan kaki ke University of Cambridge, United Kingdom (UK).
Lebih membanggakan, kejayaan menggenggam ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang pediatrik itu hadir selepas beliau berdepan pelbagai ujian termasuk kehilangan penyelia utama dan pemergian bapa tersayang ketika tamat pengajian.
Bagi anak bongsu daripada enam beradik yang berasal dari Klebang, Melaka ini, perjalanan berkenaan mengajarnya bahawa kejayaan bukan semata-mata bergantung kepada kepintaran, sebaliknya kesungguhan untuk terus belajar, keberanian mencuba dan kesanggupan bangkit ketika berdepan kesukaran.
“Saya membesar sebagai budak kampung yang sangat biasa, tetapi saya berpeluang melihat bagaimana abang dan kakak saya berjaya masuk universiti di sebalik kesederhanaan kami dan itu banyak merubah cara saya pandang ‘break the cycle of poverty,’ ada satu cara iaitu usaha keras,” katanya.
Anak Allahyarham Kasim Daud dan Asnah Hussin itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang Besar sebelum menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pontian.
Menariknya, beliau pada awalnya bercita-cita menjadi wartawan atau penyampai radio sebelum mula membayangkan masa depan dalam bidang perubatan selepas mengikuti aliran sains di MRSM.
Selepas mengikuti pengajian matrikulasi di Londang, Melaka, beliau melanjutkan pengajian perubatan di Universitas Andalas, Indonesia, namun gempa bumi pada September 2009 ketika berada di tahun keempat memaksanya pulang ke Malaysia dan menyambung pengajian di University of Cyberjaya yang ketika itu dikenali sebagai CUCMS.
Kemudian selepas berkhidmat sebagai doktor di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama hampir enam tahun, beliau menyertai Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2016 sebelum memulakan pengajian sarjana sains perubatan pada 2017.
Pengalaman bertugas di bahagian ibu dan anak di klinik kesihatan menimbulkan persoalan mengenai masalah kesihatan yang dialami bayi dan kanak-kanak sejak awal kehidupan, sekali gus mendorongnya mendalami penyelidikan perubatan.
“Saya mahu membantu pesakit di hadapan mata, tetapi saya juga mahu menyumbang pengetahuan yang berpotensi membantu lebih ramai pesakit pada masa hadapan,” katanya.
Keinginan mendalami penyelidikan membawa beliau mencari kumpulan akademik yang sesuai dengan minatnya dalam bidang fisiologi dan kesihatan kanak-kanak termasuk memberanikan diri menghantar e-mel kepada beberapa profesor di Cambridge dan Oxford sebelum menghadiri konvokesyen sarjana.
Usaha itu membuahkan hasil apabila beliau memperoleh sokongan biasiswa Cambridge Trust dan Jardine Foundation untuk melanjutkan pengajian PhD di Cambridge bagi tempoh 2020 hingga 2024.
Bagaimanapun, peluang itu tidak serta-merta menghapuskan keraguan dalam dirinya apabila beliau masih tertanya-tanya sama ada dirinya benar-benar layak berada di universiti berprestij berkenaan.
“Bagi saya, keyakinan bukan syarat untuk bermula. Kadangkala, keyakinan ialah hasil daripada keberanian untuk terus mencuba walaupun masih takut,” katanya.
Ujian sebenar bermula apabila projek penyelidikannya berubah pada peringkat awal pengajian, selain kehilangan penyelia utama dan terpaksa menyesuaikan diri dengan sekatan pergerakan serta akses ke hospital ketika pandemik COVID-19.
Beliau perlu mendalami bidang baharu, membangunkan protokol dan membina kohort kajian sendiri yang memfokuskan fisiologi serta metabolisme bayi pramatang termasuk bagaimana tubuh mereka mengurus dan menggunakan sumber tenaga seperti glukosa dan lipid.
Proses mendapatkan peserta kajian juga mencabar kerana penyelidikan membabitkan bayi pramatang memerlukan perancangan teliti, selain mengambil kira kesediaan keluarga untuk menyertai kajian.
Bagi memastikan penulisan tesis berjalan secara konsisten, beliau mendapatkan bimbingan menerusi komuniti DrRoket yang membantunya menyusun tugasan dan memantau perkembangan kerja sehingga menghasilkan kira-kira 110 draf tesis sepanjang pengajian.
Di sebalik cabaran akademik, beliau turut berdepan kehilangan bapa pada tahun terakhir pengajian, sekali gus memusnahkan impian untuk membawa insan tersayang itu melihat tempat beliau menuntut ilmu, termasuk stadium bola sepak kegemaran bapanya.
“Pengalaman ini mengajar saya bahawa pencapaian akademik tidak boleh dipisahkan daripada hubungan dengan manusia yang kita sayang. PhD penting, tetapi masa bersama keluarga juga tidak boleh diganti,” katanya.
Dalam tempoh itu, beliau turut perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar, isteri dan ibu kepada anaknya, Hannah ketika berjauhan daripada keluarga, namun suaminya, Dr Hanafi Habir sentiasa membantu mengurus rumah tangga dan memberikan sokongan ketika beliau berdepan tekanan emosi.
Ketika berdepan tekanan, beliau belajar membezakan antara keperluan untuk berehat dengan keinginan untuk menyerah, selain mendapatkan sokongan emosi, berjumpa kaunselor serta menjadikan doa dan ibadah sebagai ruang menenangkan diri.
“Saya tidak bertahan kerana sentiasa kuat. Saya bertahan kerana ada orang yang membantu ketika saya tidak kuat,” katanya.
Antara pengalaman paling bermakna sepanjang pengajian ialah kejayaan menerbitkan artikel pertama bersama kumpulan Cambridge selepas tiga kali penolakan dan kira-kira dua tahun usaha, selain menerima anugerah pembentangan lisan terbaik bagi kajian lipidomik pada East of England School of Paediatrics pada 2023.
Kejayaan memperoleh PhD itu bukan sekadar pencapaian peribadi, malah mengukuhkan tekadnya untuk meneruskan kerjaya akademik serta mengembangkan penyelidikan berkaitan kesihatan bayi, kanak-kanak dan ibu mengandung dalam konteks Malaysia.
Beliau turut berharap dapat membimbing pelajar yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, khususnya mereka yang merasakan latar belakang keluarga dan pencapaian akademik membataskan peluang untuk berjaya.
“Latar belakang kita mungkin mempengaruhi titik permulaan, tetapi jangan biarkan rasa rendah diri membuatkan kita berhenti sebelum mencuba,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




