MB Kelantan perjelas rumah haram tak layak bantuan – “Kalau benarkan, habislah tanah kerajaan”

MB Kelantan perjelas rumah haram tak layak bantuan – “Kalau benarkan, habislah tanah kerajaan”

Kerajaan Kelantan tidak boleh memberikan bantuan baik pulih bagi rumah yang dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran kerana tindakan itu bercanggah dengan undang-undang.

Memetik laporan Sinar Harian, Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, sebarang pembinaan kediaman di tanah berkenaan perlu mempunyai asas pemilikan atau kebenaran sah, termasuk Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

Menurutnya, pembinaan tanpa kelulusan tidak boleh dibiarkan kerana boleh menjejaskan kawalan dan pengurusan tanah kerajaan.

“Rumah yang dibina di atas tanah rizab kerajaan tanpa kebenaran itu sebenarnya salah dari segi undang-undang.
“Selagi tidak ada pemilikan atau tidak ada kebenaran, kita tak boleh. Kalau kita benarkan, habislah tanah kerajaan ini. Dia mesti ada kebenaran sama ada TOL atau kebenaran lain,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Isnin.

Foto: Free Malaysia Today

Mengulas lanjut, Mohd Nassuruddin berkata, pemberian bantuan bagi kediaman yang dibina secara tidak sah akan meletakkan kerajaan negeri dalam keadaan membantu perbuatan yang menyalahi undang-undang.

“Kalau kami nak membantu orang yang melakukan kesalahan dari segi undang-undangnya memang tak bolehlah.
“Susah juga kami nak membenarkan perkara yang bercanggah ini, kalau yang berhormat nak bantu tu pandai-pandailah,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan penduduk yang memerlukan tapak rumah boleh mengadakan perbincangan dengan Pejabat Tanah dan Jajahan untuk mengenal pasti tanah kerajaan yang sesuai bagi permohonan kelulusan.

Katanya, kawasan Jeli dan Gua Musang antara lokasi yang masih mempunyai tanah kerajaan untuk dipertimbangkan sebagai tapak kediaman kepada golongan memerlukan.

“Kalau kawasan Jeli dan Gua Musang sebenarnya tanah kerajaan masih banyak.
“Jadi mungkin boleh berbincang dengan Pejabat Tanah, tengok tanah-tanah kerajaan yang boleh kita luluskan untuk tapak rumah, insya-ALLAH dipertimbangkan,” tambahnya lagi.

Sumber: Sinar Harian (Adila Sharinni Wahid)

Scroll to Top