mukhriz.husin@bh.com
Kuala Lumpur: Ahli Parlimen pembangkang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan bekas Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilantik sebagai anggota pasukan petugas khas antara agensi bagi menyiasat jenayah kewangan, khususnya kegiatan mafia korporat.
Wan Ahmad Fayhsal (PN-Machang) berkata, cadangan itu mengambil kira pengalaman luas Mohd Shuhaily termasuk sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam bidang penguatkuasaan, selain dilihat mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
“Memandangkan Mohd Shuhaily sudah dipindahkan dari AKPS ke Kementerian Dalam Negeri (KDN), selama mana beliau berdepan dengan pertuduhan di mahkamah, saya mencadangkan untuk menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan, lantik beliau sebagai salah seorang anggota pasukan petugas khas antara agensi ini.
“Saya yakin Mohd Shuhaily mampu menjejak kroni-kroni skandal mafia korporat. Jangan kita buang orang-orang baik seperti ini dan letak di dalam peti sejuk KDN,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Peguam Negara mengetuai pasukan petugas khas membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan bagi menyelaraskan siasatan berkaitan kegiatan mafia korporat.
Pasukan berkenaan turut membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta pasukan berkaitan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Wan Ahmad Fayhsal berkata, peruntukan bagi operasi pasukan petugas khas itu dijangka tidak membabitkan kos besar, selain tidak memerlukan pertambahan keanggotaan di Pejabat Peguam Negara.
Beliau turut meminta kerajaan supaya tidak mengetepikan pegawai awam yang mempunyai rekod prestasi baik dalam usaha membanteras rasuah.
“Jangan aniaya pegawai-pegawai kerajaan yang cemerlang dalam melawan rasuah. Sebab itu yang dijanjikan oleh Tambun (Anwar) iaitu sakau, sakau, sakau.
“Namun, apabila membabitkan tindakan, ia tidak selari dengan apa yang dijanjikan. Jadi, saya minta Pengerusi (Dewan Rakyat) supaya cadangan kami diterima oleh Kerajaan MADANI kerana kita sama-sama ingin melawan rasuah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




