Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum mengadakan sebarang perbincangan mengenai calon yang bakal menggantikan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang kini berdepan pertuduhan di mahkamah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu belum dipertimbangkan, termasuk kemungkinan memilih pegawai daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengisi jawatan berkenaan.
“Belum sampai ke situ. Belum lagi kita bincang sampai ke situ,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah, hari ini.
Mengulas kedudukan Mohd Shuhaily, beliau menjelaskan bahawa status perkhidmatan pegawai berkenaan sedang diuruskan oleh bahagian berkaitan mengikut prosedur dan peraturan penjawat awam susulan pertuduhan yang dihadapinya.

Pada 29 Oktober lalu, Saifuddin Nasution memaklumkan bahawa KDN memutuskan Mohd Shuhaily yang sedang berkhidmat secara peminjaman di AKPS akan kembali bertugas bersama PDRM.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Saifuddin Nasution mengesahkan PDRM sudah memulakan perbincangan dengan pihak berkuasa Pakistan berhubung penahanan 130 rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian di negara berkenaan.
Menurutnya, perbincangan itu diadakan selepas beliau menerima makluman daripada rakan sejawatnya di Pakistan kira-kira dua minggu lalu.

Susulan itu, beliau mengarahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman mengadakan pertemuan segera dengan pihak berkuasa berkaitan di Pakistan bagi membincangkan pengurusan kes terbabit.
“Perbincangan sudah pun berjalan. Saya nanti akan menerima laporan untuk menentukan hala tuju tindakan seterusnya. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan,” katanya.
Sumber: Utusan Online (Muhamad Aimy Ahmad)




