Mahkamah keluar perintah injuksi halang terbit, sebar artikel berunsur fitnah terhadap Farhash

Mahkamah keluar perintah injuksi halang terbit, sebar artikel berunsur fitnah terhadap Farhash

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberikan perintah injunksi bagi menghalang Bloomberg News dan semua pihak daripada menerbitkan atau menyebarkan kenyataan serta dakwaan berunsur fitnah terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Perintah itu diberikan Pesuruhjaya Kehakiman Kan Weng Hin, susulan prosiding undang-undang yang dimulakan terhadap Bloomberg News dan anak syarikatnya di Malaysia berhubung ancaman penerbitan sebuah artikel didakwa mengandungi kenyataan palsu, tidak berasas dan berunsur fitnah.

Menurut kenyataan firma guaman Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co. yang mewakili Farhash, anak guam mereka sebelum ini menerima komunikasi daripada Bloomberg News atau wakilnya berhubung hasrat untuk menerbitkan artikel mengandungi kenyataan serta gambaran yang didakwa menjejaskan reputasinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Susulan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Kan Weng Hin telah memberikan perintah injunksi bagi menghalang Bloomberg News dan semua pihak daripada menerbitkan, menerbitkan semula, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan dan/atau gambaran berunsur fitnah yang dikenal pasti dalam prosiding tersebut, termasuk kenyataan yang mempunyai sifat serupa berhubung anak guam kami,” katanya hari ini.

Farhash diwakili peguam, Aswath Ramakrishnan dan Nur Irdina Syahirah binti Mohammad Wardi dalam prosiding berkenaan.

Firma guaman itu turut memaklumkan pihaknya tidak berhasrat untuk terlibat dalam sebarang perdebatan awam atau membincangkan merit prosiding tersebut menerusi media memandangkan perkara itu kini berada di hadapan mahkamah.

Menurut kenyataan itu, anak guam mereka kekal komited untuk melindungi reputasi serta mempertahankan haknya menerusi saluran perundangan yang sewajarnya. – UTUSAN

Scroll to Top