saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia terus mencipta rekod kehadiran penonton buat tahun keempat berturut-turut apabila seramai 196,542 peminat membanjiri Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sepanjang tiga hari penganjurannya.
Jumlah itu mengatasi rekod 190,997 penonton yang dicatatkan pada edisi tahun lalu, sekali gus membuktikan saingan berprestij MotoGP itu terus mendapat sambutan hangat peminat sukan permotoran.
Bagaimanapun, angka berkenaan masih belum mencapai sasaran 200,000 penonton yang ditetapkan SIC sejak 2024.
Di sebalik kejayaan mencatatkan rekod baharu itu, penganjuran kali ini turut dicemari isu penjualan pas VIP palsu sehingga membawa kepada penahanan dua pekerja sementara yang diambil bertugas khusus sepanjang Grand Prix Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya tetap berbangga dengan jumlah kehadiran penonton yang direkodkan, terutama apabila jualan tiket kali ini mencatatkan angka tertinggi sejak pandemik Covid-19.
“Jualan tiket sangat memberangsangkan dan ini adalah jumlah tertinggi yang kami berjaya jual selepas pandemik Covid-19.
“Dari segi mencapai sasaran 200,000 penonton, kita sudah hampir. Diharapkan tahun depan kita mampu mencapainya.
“Sudah tentu kita akan melakukan post-mortem bagi melihat bagaimana kita boleh terus menambah baik penganjuran acara ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Mengulas isu penjualan pas VIP palsu, Shafriman berkata, pihaknya sebelum ini turut menerima laporan mengenai kegiatan penjualan tiket dan pas di pasaran gelap, namun tindakan berjaya diambil terhadap suspek pada edisi kali ini.
“Kami menerima laporan mengenai penjualan tiket dan pas di pasaran gelap pada tahun sebelum ini, tetapi tahun ini kita berjaya menangkap suspek dan menyerahkan perkara itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Saya difahamkan dua suspek sudah ditahan. Mereka masih direman dan siasatan sedang berjalan, jadi saya tidak boleh mengulas terlalu lanjut mengenai perkara ini.
“Apa yang boleh saya katakan, pas berkenaan dicetak secara dalaman dan dijual di pasaran gelap.
“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Kita akan melaksanakan kawalan yang lebih ketat pada masa akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




