sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Peluang menimba ilmu secara langsung daripada atlet negeri dan kebangsaan menjadi pengalaman berharga buat pemain cilik yang menyertai Karnival Takraw & Mini-Klinik sempena Liga Takraw Nasional Mekdi di McDonald’s Pandu-Lalu Batu Buruk, Sabtu lalu.hari ini.
Program anjuran bersama Harian Metro itu mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai 20 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Kapas yang tidak melepaskan peluang mendalami sukan tradisional berkenaan.
Bermula pada jam 5 petang, klinik berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas permainan, teknik serta kemahiran penting dalam sepak takraw.
Lebih menarik, peserta berpeluang menerima tunjuk ajar secara langsung daripada dua atlet berpengalaman, iaitu Muhamad Khairul Aman Mohd Rosdi yang beraksi sebagai apit kanan dan Muhammad Afif Jazimin Zainal Abidin selaku apit kiri.
Khairul Aman berkata, penganjuran klinik itu memberi peluang kepada pemain cilik mempelajari teknik permainan dengan lebih dekat, selain memahami kepentingan disiplin dan kesungguhan untuk mencapai kejayaan.
Menurutnya, pendedahan secara langsung daripada atlet berpengalaman mampu membantu pemain muda meningkatkan keyakinan diri serta membina asas permainan yang lebih mantap.
“Melihat kesungguhan adik-adik ini, saya percaya mereka mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh sekiranya terus berlatih dan tidak mudah berputus asa.
“Namun minat saja tidak mencukupi, sebaliknya mereka perlu mempunyai disiplin, semangat berpasukan dan kesungguhan untuk memperbaiki kelemahan masing-masing,” katanya ketika ditemui pada program itu.
Beliau berkata, pemain muda perlu menjadikan setiap sesi latihan sebagai peluang untuk menambah kemahiran dan meningkatkan mutu permainan masing-masing.
Sementara itu, Afif Jazimin berkata, pendedahan seumpama itu penting bagi memastikan sukan sepak takraw terus mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
Katanya, usaha memperkenalkan sukan berkenaan sejak peringkat kanak-kanak mampu melahirkan lebih ramai pemain berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Saya berharap perkongsian ilmu dan pengalaman ini dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk terus aktif dalam sepak takraw.
“Gunakan peluang yang ada untuk belajar, bertanya dan memperbaiki teknik permainan. Mana tahu, suatu hari nanti ada antara mereka yang mampu mewakili negeri atau negara,” katanya.
Bagi murid berusia 10 tahun, Tuan Adam Wafiq Tuan Ahmad Izzan, peluang bertemu atlet berkenaan disifatkan sebagai pengalaman menyeronokkan kerana dapat mempelajari teknik permainan secara bersemuka.
Katanya, banyak perkara baharu dipelajari sepanjang mengikuti klinik itu, khususnya berkaitan teknik bermain sepak takraw dengan betul.
“Saya sangat gembira dapat belajar daripada pemain yang hebat. Banyak perkara baharu saya dapat tahu, terutama mengenai teknik bermain sepak takraw dengan betul.
“Saya berharap dapat menjadi pemain yang lebih bagus dan berpeluang menyertai pertandingan pada masa akan datang,” katanya.
Rakannya, Muhammad Ali Salahuddin Mohd Efendi, 12, turut melahirkan keterujaan apabila berpeluang mengikuti klinik berkenaan bersama rakan sekolahnya.
Menurutnya, program itu bukan sahaja menambah pengetahuan mengenai sepak takraw, malah meningkatkan semangatnya untuk terus aktif dalam sukan berkenaan.
“Saya memang minat bermain sepak takraw dan program ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk berlatih.
“Paling menyeronokkan apabila dapat bertemu atlet negeri dan kebangsaan serta belajar secara langsung daripada mereka,” katanya ketika ditemui.
Karnival berkenaan diharap dapat mendekatkan sukan sepak takraw kepada masyarakat, khususnya golongan kanak-kanak dan generasi muda selain menjadi platform mencungkil bakat baharu.
Usaha berterusan menerusi program seumpama itu juga dilihat mampu menyemarakkan kembali minat terhadap sepak takraw, sekali gus menyediakan ruang kepada pemain muda untuk mengembangkan lagi potensi masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 anjuran bersama Harian Metro Zon Timur dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, pada 20 dan 21 November ini.
Kejohanan kategori bawah 16 tahun itu masih membuka penyertaan kepada pelajar yang berminat untuk menguji kemampuan serta bersaing di pentas berkenaan.
Lebih menarik, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 kepada pasukan yang muncul juara sekali gus menjadi motivasi tambahan kepada peserta untuk memperagakan aksi terbaik mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




