BUCHAREST, Romania: Juara dunia, Perancis berdepan masalah kecederaan menjelang aksi kelompok 16 terakhir Euro 2020 berdepan Switzerland di sini, esok apabila Lucas Digne dan Marcus Thuram menjadi pemain terbaharu skuad Didier Deschamps mendapatkan rawatan.
Digne yang juga pertahanan kiri Everton, mengalami kecederaan paha ketika perlawanan terakhir peringkat kumpulan berdepan Portugal, manakala Marcus Thuram juga berdepan kecederaan sama.
Perancis sebelum ini kehilangan pemain sayap Barcelona, Ousmane Dembele kerana kecederaan yang menamatkan terus peluangnya dalam kejohanan ini manakala pertahanan, Jules Kounde “mungkin” tidak boleh beraksi menentang Switzerland, kata Deschamps hari ini.
Kounde yang mewakili kelab Sepanyo, Sevilla, membuat penampilan pertama buat Perancis ketika terikat 2-2 berdepan Portugal di Budapest, Hungary pada pertengahan minggu.
Pemain tengah, Thomas Lemar juga bergelut namun pertahanan Bayern Munich, Lucas Hernandez dijangka mampu cergas, tepat pada masanya selepas kecederaan lutut.
– AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




