am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Pengerang di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang peneroka di Felda Lok Heng Selatan, dekat sini, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Iskandar Sentot, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Mohd Ariff Md Yusoff, 68, di depan rumah nombor 90, Blok 2, Jalan Bersatu, Felda Lok Heng Selatan, Pengerang di sini, kira-kira 7.20 malam, 26 Oktober lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun. Jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 7 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki ditemukan maut selepas dipercayai ditetak di Felda Lok Heng Selatan. Suspek kemudian diberkas di ladang sawit berhampiran, pada keesokannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




