UOB My Digital Space bantu 13,000 pelajar kuasai kemahiran digital

UOB My Digital Space bantu 13,000 pelajar kuasai kemahiran digital

Kuala Lumpur: Lebih 13,000 pelajar berusia 10 hingga 16 tahun di seluruh negara mendapat manfaat daripada program UOB My Digital Space (MDS) yang membantu meningkatkan kemahiran digital, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi.

Program pendidikan digital anjuran UOB Malaysia itu dilaksanakan menerusi pembelajaran dalam talian dan bengkel secara bersemuka.

Melalui modul interaktif, pelajar didedahkan kepada literasi digital, AI, pemikiran kreatif dan pemikiran reka bentuk.

Program ini menegaskan komitmen UOB Malaysia untuk membangunkan bakat yang bersedia menghadapi masa depan, dengan membekalkan golongan muda kemahiran digital, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi yang diperlukan untuk maju dalam dunia yang semakin dipacu teknologi.

Datuk Ng Wei Wei, CEO UOB Malaysia

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Datuk Ng Wei Wei, berkata generasi inovator, pencipta dan penyelesai masalah akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan ekonomi Malaysia.

“Melalui UOB My Digital Space, kami membekalkan golongan muda dengan kemahiran dan keyakinan untuk maju dalam dunia yang semakin digital. Idea-idea yang disampaikan sepanjang cabaran ini menunjukkan kemampuan pelajar apabila diberi peluang memanfaatkan teknologi dan AI untuk menyelesaikan masalah dunia sebenar.

“Sebagai sebuah bank yang telah bertapak di Malaysia selama 75 tahun, kami kekal komited untuk melabur dalam bakat masa depan, menyokong aspirasi digital negara selaras dengan agenda Malaysia Digital 2030, serta membantu membina rantau ASEAN yang lebih berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.

Bertemakan Digital Ideas for a Better Future, pertandingan itu menyaksikan pelajar bekerja dalam kumpulan untuk mengenal pasti masalah dalam komuniti masing-masing dan menghasilkan penyelesaian berasaskan digital atau AI.

Bagi kategori sekolah rendah, pasukan innov8 Crew dari Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur, muncul juara menerusi projek Sambung, iaitu platform digital berasaskan AI yang membolehkan barangan sekolah terpakai dikongsi dan digunakan semula bagi mengurangkan pembaziran serta membantu keluarga mendapatkan keperluan pembelajaran.

Sementara itu, pasukan Triple Trouble dari Sekolah Menengah Kebangsaan Lutong, Sarawak, memenangi kategori sekolah menengah menerusi projek Drive Alert, aplikasi mudah alih berasaskan AI yang mengesan tahap keletihan pemandu melalui kamera telefon pintar bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.

Penyertaan dinilai berdasarkan pemahaman terhadap masalah, kreativiti, penggunaan teknologi, kebolehlaksanaan, potensi impak, kualiti pembentangan serta penyempurnaan modul pembelajaran digital.

Pemenang tempat pertama bagi kedua-dua kategori masing-masing menerima RM10,000, diikuti RM8,000 bagi naib juara dan RM6,000 bagi tempat ketiga. Dua hadiah saguhati bernilai RM3,000 setiap satu turut disediakan bagi setiap kategori.

Program yang mendapat kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia dan sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu dilaksanakan dengan kerjasama Virtualtech Frontier.

MDS adalah inisiatif pendidikan digital serantau UOB yang turut dilaksanakan di pasaran utamanya termasuk Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan China.

Pada 2025, program itu mencatatkan lebih 50,000 penerima manfaat di seluruh Asia Tenggara, sekali gus menegaskan komitmen UOB untuk ‘Membina Masa Depan ASEAN’ dengan melabur dalam generasi bakat seterusnya yang berkeyakinan dan bersedia mendepani era digital.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top