JAKARTA – Indonesia tidak akan mengeksport elektrik ke Singapura sekiranya kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai harga yang dianggap sesuai oleh Jakarta.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia berkata, keperluan domestik akan diutamakan jika Singapura tidak menerima kadar harga yang ditetapkan.
“Jika harganya sesuai, eksport boleh dilakukan. Jika tidak, kami akan mengutamakan keperluan dalam negara,” katanya kepada pemberita di Istana Presiden pada Isnin.
Menurut Antara, Indonesia telah mengira cadangan harga eksport, namun Bahlil tidak mendedahkan jumlahnya atau tarikh bekalan dijangka bermula.
Kenyataan itu menimbulkan ketidakpastian terhadap rancangan membekalkan sehingga 3.4 gigawatt elektrik rendah karbon kepada Singapura menjelang 2035.
Sebelum ini, kedua-dua negara memeterai beberapa persefahaman berkaitan perdagangan elektrik rentas sempadan, penyimpanan karbon dan pembangunan kawasan perindustrian mampan.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong turut menegaskan komitmen mempercepat kerjasama tenaga pada Julai lalu.
Bagaimanapun, Bahlil mengingatkan bahawa kementeriannya mempunyai kuasa meluluskan permit eksport dan keputusan tidak sepatutnya dipengaruhi tekanan pihak berkepentingan.
Isu tersebut timbul ketika hubungan kedua-dua negara turut diuji pertikaian bekalan gas asli dan jerebu rentas sempadan.
Singapura melihat import elektrik rendah karbon sebagai usaha mengurangkan pergantungan terhadap bahan api fosil.
Projek itu juga dijangka membuka peluang pelaburan dalam penjanaan tenaga boleh baharu Indonesia. – Agensi



