177 karya bakal berentap rebut geran RM50,000 di FFVPM14

177 karya bakal berentap rebut geran RM50,000 di FFVPM14

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Generasi muda berpeluang mencungkil bakat dan memperkasa kreativiti dalam bidang perfileman menerusi Festival Filem Video Pelajar Malaysia Kali Ke-14 (FFVPM14).

Selain itu, mereka juga berpeluang memenangi Hadiah Keseluruhan (Best of the Best) yang bakal membawa pulang Geran Penerbitan Filem Pendek bernilai RM50,000 di bawah Dana Pemangkin Generasi MADANI.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, selain geran, hadiah wang tunai berjumlah RM25,000 serta trofi turut disediakan menerusi 22 kategori anugerah yang dipertandingkan.

“Kesemua ini disediakan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama FINAS di bawah Program Belia Kreatif Komuniti MADANI.

“Saya berharap hadiah yang ditawarkan ini memberikan dorongan kepada pemenang untuk mengembangkan idea kepada karya baharu yang berkualiti.

“Dalam masa sama, ia juga diharap memberi galakan kepada pemenang untuk terus menghasilkan karya baharu dengan bimbingan dari pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media FFVPM14 di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), di sini, hari ini.

Selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2006, ASWARA kembali dipilih pada penganjuran kali ini.

FFVPM14 dianjurkan Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA dengan sokongan FINAS dan akan berlangsung di Dewan Kuliah Utama dan Panggung Eksperimen ASWARA pada 12 hingga 13 November ini.

Sementara itu, Rektor ASWARA, Datuk Ainu’ Sham Ramli berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana sekali lagi diberi kepercayaan sebagai tuan rumah selepas kali terakhir menganjurkan festival ini, 20 tahun lalu.

“Penganjuran FFVPM14 adalah manifestasi kerjasama antara ASWARA dan FINAS dalam usaha mencungkil bakat muda serta membangunkan modal insan kreatif dalam industri perfileman negara.

“Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk memperkasa industri kreatif serta meningkatkan kecemerlangan seni, budaya dan warisan negara,” katanya.

Katanya, FFVPM14 yang mengangkat slogan Manifestasi Madani, Mahakarya Gergasi diadakan sempena Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35.

“Ia menerima sambutan yang memberangsangkan dengan 177 karya daripada 35 institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah di seluruh negara, namun penyertaan sekolah menengah hanya membabitkan sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur sahaja.

“FFVPM14 turut menampilkan pelbagai pengisian menarik seperti bengkel, masterclass, forum industri dan Malam Anugerah dengan malam kemuncak akan menghimpunkan alumni ASWARA yang telah mencipta nama dalam industri kreatif dan hiburan tanah air,” katanya.

Menurutnya, kehadiran mereka adalah sebagai penyampai trofi dan artis persembahan bukan sahaja memeriahkan acara, malah mencerminkan kejayaan alumni ASWARA dalam pelbagai bidang kreatif.

“Semoga ia menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi pembikin filem yang berwibawa dan berdaya saing demi masa hadapan sinema Malaysia,” katanya.

Antara nama yang bakal menyerikan malam kemuncak ialah kumpulan Floor 88, Amirul Affendi, Ariff Zurkarnain (pengarah filem Baga: Esok Untuk Siapa dan drama One Cent Thief), Zulin Aziz dan Kai Hassan.

Malam kemuncak FFVPM14 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Facebook rasmi ASWARA dan FINAS pada 13 November ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top