YAN: Anak kepada pasangan suami isteri yang maut kemalangan di Gerik, Perak masih sukar menerima hakikat bahawa hari yang sepatutnya menggembirakan mereka sekeluarga bertukar duka akibat kejadian terbabit.
Dalam kejadian itu, Husna Syakira Abd. Halim, 23, kehilangan ibu bapanya, Abd. Halim Bakar, 64, dan Siti Sara Abd. Rahman, 58, yang dalam perjalanan untuk menghadiri konvokesyennya di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
“Sepatutnya mak ayah tengok saya terima ijazah di atas pentas, bukan saya tengok mereka dikebumikan hari ini,” katanya ketika ditemui selepas proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid As Syakirin di Singkir Laut, di sini hari ini.
Memuatkan artikel berkaitan…
Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, kali terakhir mereka berhubung adalah menerusi panggilan video daripada abangnya yang turut parah dalam kemalangan itu ketika mereka berhenti di kawasan rehat Banjaran Titiwangsa, kira-kira pukul 1 tengah hari.
“Ketika itu saya nampak muka mak bercahaya dan tersenyum gembira. Ayah pula beritahu dia bawa kamera baharu dibeli dan mahu ikut saya naik pentas ambil skrol, tetapi saya sedih bila tengok kamera itu sudah rosak akibat kemalangan,” katanya.
Katanya, ibu bapanya begitu teruja membuat persiapan untuk menghadiri istiadat konvokesyen berkenaan sehingga membeli kasut dan pakaian baharu untuk dipakai.
“Ketika kejadian, saya sedang buat persiapan akhir sebelum konvokesyen dan berada di sebuah pusat beli-belah. Sekitar pukul 2.30 petang, kakak telefon beritahu ada individu tak dikenali buat panggilan video beritahu mak ayah sudah tiada dan tunjuk keadaan abang dalam keadaan berlumuran darah,” katanya.
Terdahulu, jenazah Abd. Halim dan Siti Sara tiba di Kampung Singkir Laut dari Hospital Gerik, kira-kira pukul 2 petang. Solat jenazah berlangsung pada pukul 4.45 petang sebelum proses pengebumian diteruskan tidak lama kemudian.
Sementara itu, anak lelaki mereka, Mohammad Syazwan Hakimi, 28, masih menerima rawatan di Hospital Taiping dan dilaporkan masih belum sedar sepenuhnya, sementara pemandu bas dan 30 penumpangnya tidak mengalami kecederaan. – UTUSAN




