sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengumuman dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai senarai nama pemain Harimau Malaya bagi dua aksi persahabatan antarabangsa di China, bulan ini amat mengejutkan semua pihak.
Ia susulan berdasarkan senarai 24 pemain diumumkan hari ini, tiada seorang pun pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berada dalam senarai skuad Harimau Malaya.
Situasi itu mencetuskan tanda tanya mengenai punca sebenar mengapa pemain skuad Harimau Selatan yang sebelum ini mendominasi skuad Harimau Malaya tidak berada dalam senarai dipanggil ketua jurulatih sementara, Tan Cheng Hoe.
Perkembangan itu menyaksikan Cheng Hoe tidak akan mendapat khidmat barisan bintang seperti pemain naturalisasi, Bergson Da Silva, Manuel Hidalgo dan penyerang sensasi, Arif Aiman Hanapi.
Malah, Harimau Malaya akan menghadapi tugas antarabangsa kali ini tanpa kelibat kapten Selangor FC (SFC), Faisal Halim yang masih dibelenggu masalah kecederaan.
Cheng Hoe mengekalkan 11 pemain daripada skuad 23 pemain yang meraih tempat ketiga Piala ASEAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2026 di Jakarta dan Bandung, Indonesia, sebelum ini.
Antara pemain dipanggil Cheng Hoe bagi kem kali termasuk Ramadhan Saifullah Usman, Safawi Rasid, Paulo Josue, Romel Morales, Dion Cools dan Fergus Tierney.
Pengendali berusia 58 tahun itu turut memanggil semula tiga pemain dari skuad Piala ASEAN 2026 serta 10 pemain lain termasuk dua muka baharu iaitu Ahmad Haziq Kutty Abba (Terengganu FC) dan A Selvan (SFC).
Pemain skuad Harimau Malaya akan melapor diri bermula Isnin ini sebelum berlepas ke China pada Selasa bagi menghadapi dua aksi persahabatan berdepan China dan Yaman.
Harimau Malaya akan berdepan China, 14 November ini sebelum menentang Yaman (17 November) dengan kedua-dua aksi itu bakal berlangsung di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre.
Berdasarkan ranking terkini FIFA, Malaysia kini berada di tangga ke-133 dunia, China di tangga ke-96 dunia manakala Yaman di tangga ke-144 dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




