Pemandu warga Taiwan rempuh anggota trafik positif tiga jenis dadah

Pemandu warga Taiwan rempuh anggota trafik positif tiga jenis dadah

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang anggota trafik cedera di tangan dan kaki akibat dirempuh oleh seorang pemandu warga asing di bawah pengaruh dadah dalam kejadian di Jalan Tun Sambanthan, di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kejadian berlaku jam 8.50 malam Sabtu lalu itu ketika mangsa berusia 42 tahun dalam perjalanan pulang selepas tamat tugas.

“Anggota itu dari Unit Motoked JSPT Kuala Lumpur dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta dipandu lelaki warga Taiwan berusia 52 tahun.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika anggota berkenaan dalam perjalanan pulang selepas selesai menjalankan tugas iringan.

“Sebaik tiba di lokasi, pemandu dalam perjalanan dari arah Ampang ke Brickfields dipercayai merempuh motosikal mangsa dari arah belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek cuba melarikan diri selepas kemalangan itu namun berjaya ditahan oleh anggota Unit Motoked JSPT Kuala Lumpur.

Katanya, ujian pernafasan ke atas lelaki warga asing berkenaan didapati bebas daripada pengaruh alkohol dengan bacaan 0 miligram, namun saringan air kencing mendapati individu itu positif dadah jenis metamfetamin, ketamin dan amfetamin.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan suspek menemukan satu bungkusan mengandungi pil disyaki dadah jenis ekstasi.

“Pada 1 November lalu, mahkamah membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata, kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pihak polis sudah mendapat arahan bagi menuduh suspek di Mahkamah Majistret Trafik esok.

“Pertuduhan bakal dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(a) APJ 1987 atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

“Selain itu, suspek turut berdepan pertuduhan berkaitan kesalahan dadah di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang mana siasatan berkaitan dadah dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Dang Wangi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top